POLITIK

BN PERLU PENDEKATAN DIGITAL, LANGKAH TAKTIKAL HADAPI PRU16 - AHMAD ZAHID

28/01/2026 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu merangka strategi politik baharu yang lebih bijaksana termasuk pendekatan digital dan langkah taktikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dalam tempoh maksimum 22 bulan.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan demografi pengundi dan landskap politik semasa.

"Strateginya harus berubah untuk kita melakukan pendekatan bukan konvensional… kaedah-kaedah baharu secara digital wajib dilakukan kerana mustahil untuk kita mendekati seluruh 2.5 juta pengundi baharu ini secara komunikasi bersemuka, ia mesti dilakukan dengan cara digital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Better Nation ke-9 bertajuk Model Baharu Barisan Nasional: Antara Tradisi Politik & Tuntutan Perubahan di Auditorium Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini malam ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadi moderator forum berkenaan yang melibatkan barisan panel terdiri daripada Dr Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia, Felow Kanan Program Pengajian Malaysia ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura Dr Lee Hwok Aun dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hishomuddin Bakar.

Ahmad Zahid berkata BN perlu mengakui realiti politik semasa yang menyaksikan tiada parti dominan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian sekali gus memerlukan strategi baharu lebih realistik dan inklusif selain mengambil kira perubahan pola pengundi khususnya pertambahan pengundi muda.

"Kita harus mengakui bahawa pengundi kali pertama, ertinya mereka yang berumur 18 tahun, setiap tahun kohotnya adalah kira-kira setengah juta... dalam keadaan itu, strateginya harus berubah," katanya.

Beliau berkata BN juga perlu menilai semula prestasinya selepas hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU ke-15 serta memahami faktor demografi, pertembungan pelbagai penjuru dan isu dalaman yang mempengaruhi keputusan tersebut.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pengalaman politik di Sabah turut membuktikan bahawa strategi tepat pada masa bersesuaian mampu memberikan kelebihan walaupun jumlah kerusi yang ditandingi adalah kecil.

"Pengalaman ini memperlihatkan bahawa biarpun kita sedikit tetapi kita telah melakukan strategi politik yang benar, tepat pada waktunya dan kena pada tempatnya," kata beliau.

Beliau juga berkata BN perlu berani mengubah pendekatan komunikasi politik, tidak terlalu defensif dan fokus untuk mendominasi kembali PRU ke-16.

Forum Better Nation ialah wacana dinamik cetusan Ahmad Zahid yang menghimpunkan pemimpin pemikiran, pakar pelbagai bidang dan suara rakyat untuk membincangkan isu kritikal masa depan Malaysia dengan siri pertamanya dilancarkan pada 12 Feb 2025.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan