AM

TUN DR MAHATHIR MASIH DIRAWAT DI IJN, KELUAR SEKETIKA UNTUK "OUTING" HARI INI

27/01/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini dibawa keluar seketika untuk “outing” ke sebuah kafe di pusat beli belah Pavilion, Bukit Damansara.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata Dr Mahathir dibawa keluar oleh pegawai perubatan IJN ke kafe itu dengan ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan menghabiskan masa selama 40 minit di situ.

“Tun Dr Mahathir memilih untuk menikmati segelas “ice chocolate” bagi “outing” pertamanya sejak dimasukkan ke IJN pada 6 Jan untuk rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, yang mengakibatkan tulang pinggul kanan beliau patah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sufi berkata Dr Mahathir kemudian dibawa semula ke IJN untuk terus menerima rawatan di institut perubatan itu dan masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau berkata lawatan juga masih lagi terhad kepada keluarga terdekat sahaja.

Pemimpin berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 6 Jan lepas selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, dekat sini dan disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan