AM

BEKALAN AIR LEBIH 13,000 AKAUN PENGGUNA AKSB DI TANAH MERAH TERJEJAS ESOK

27/01/2026 07:53 PM

KOTA BHARU, 27 Jan (Bernama) -- Sebanyak 13,766 akaun pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di daerah Tanah Merah akan mengalami gangguan bekalan air bermula 9 malam esok.

AKSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan bekalan air itu berikutan kerja pembaikan kecemasan injap sehala di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah.

“Pihak AKSB akan menyambung pembaikan kerosakan berkenaan bermula 9 malam esok dan dijangka selesai pada Khamis ini sekitar 7 pagi.

“Dalam tempoh itu, pengguna akan mengalami gangguan bekalan air sementara dan bagi kawasan penghujung bekalan paip, kemungkinan ia akan terkesan melebihi tempoh 24 jam selepas kerja pembaikian siap,” menurut kenyataan itu.

AKSB memaklumkan pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya bermula hari ini selain pada masa yang sama, pihak AKSB juga akan menggerakkan lori tangki untuk membantu premis kritikal, iaitu hospital, klinik kesihatan serta pusat dialisis sebelum diagihkan kepada penduduk.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan