AM

WAJIBKAN BM, SEJARAH DI SEMUA ALIRAN SEKOLAH PERKUKUH JATI DIRI, LAHIRKAN GENERASI SEIMBANG

27/01/2026 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian mampu memperkukuh jati diri serta perpaduan nasional.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata berkata kedua-dua subjek itu penting diajar sejak sekolah rendah bagi membentuk jati diri dengan Sejarah khususnya mampu memupuk kefahaman, semangat kebangsaan dan cintakan negara bagi membangunkan Malaysia.

“Sudah tentu apabila rakyat berbilang kaum memiliki kemahiran tinggi dalam pelbagai bahasa, hubungan antara satu sama lain akan menjadi lebih mesra serta dapat mengelakkan salah faham akibat kelemahan berkomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Alimuddin berkata selain memperkasakan bahasa Melayu sebagai jati diri negara, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa juga penting untuk memudahkan urusan perdagangan.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) Kelana Jaya Prof Madya Dr Che Supian Mohamad Nor berkata mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan teras utama sistem pendidikan negara dan wajar diberi penekanan oleh semua aliran sekolah tanpa pengecualian.

Beliau berkata langkah mewajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah agama rakyat amat signifikan kerana ia dapat membuka peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam, selain berperanan menyemai semangat patriotisme serta membentuk jati diri pelajar sejak usia muda.

“Sejarah penting supaya generasi muda memahami perjalanan negara dan tidak terkeliru sehingga mengangkat individu atau pihak yang menentang kerajaan sebagai pejuang,” katanya.

Bagi sekolah persendirian dan antarabangsa, Che Supian berkata institusi berkenaan boleh mengekalkan kurikulum sedia ada asalkan mematuhi ketetapan kerajaan terutama dalam penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas perpaduan negara.

Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Terengganu Datuk Wan Ahmad Samir Wan Mohd Noor pula berkata subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang merupakan teras pembinaan negara perlu difahami oleh semua pelajar tanpa mengira aliran pendidikan.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu perlu dilakukan secara berperingkat, fleksibel dan inklusif dengan mengambil kira keupayaan sekolah seperti latihan guru, bahan pembelajaran dan fasiliti serta pemantauan berkesan agar tidak membebankan mana-mana pihak.

"Dasar ini penting untuk memastikan semua pelajar mempunyai kefahaman asas yang sama tentang pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan nilai kenegaraan demi melahirkan generasi seimbang dari segi sahsiah serta akademik," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Samir berkata bagi memastikan langkah itu difahami semua pihak, sesi libat urus serta penerangan penting untuk diadakan dengan melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, sekolah dan sektor swasta.

Sementara itu, Pensyarah Komunikasi Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Nor Jijidiana Azmi berkata kerajaan perlu meneliti konteks setiap jenis sekolah sebelum melaksanakan dasar berkenaan.

Nor Jijidiana berkata contohnya, penambahan elemen seperti pengetahuan am dan sejarah Malaysia dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah lebih sesuai untuk sekolah antarabangsa yang mempunyai ramai pelajar asing, berbeza dengan sekolah agama atau persendirian yang kebanyakan pelajarnya rakyat Malaysia.

"Tujuan pembangunan modul kokurikulum bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah untuk pembentukan identiti nasional. Oleh itu, implementasi di sekolah persendirian atau agama yang majoriti rakyat Malaysia amat sesuai, tetapi untuk sekolah antarabangsa perlu diperhalusi dengan menambah subtopik," katanya.

Di Pulau Pinang, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata RPN adalah usaha menyusun semula ekosistem pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu selari keperluan jangka sederhana dan panjang negara.

Beliau berkata kejayaan RPN bergantung kepada pelaksanaan konsisten merentas perubahan politik dan kecekapan di peringkat akar umbi dengan kekuatannya terletak pada pendekatan holistik, fokus kebolehpasaran graduan serta pengiktirafan kepelbagaian laluan pendidikan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan micro-credential.

"RPN wajar memperincikan indikator kejayaan, garis masa, mekanisme akauntabiliti dan peranan jelas pihak berkepentingan agar ia tidak berakhir sebagai dokumen aspirasi semata-mata," katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan RPN 2026-2035 pada 20 Jan lepas mengumumkan pelajar di semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian wajib belajar Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi memperkasakan jati diri.

RPN diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan Kementerian Pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan