DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SUSULAN MINYAK KACANG SOYA MENGUKUH, JANGKAAN STOK RENDAH

27/01/2026 09:42 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini disokong oleh pasaran minyak kacang soya yang mengukuh, kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga juga disokong oleh jangkaan paras stok yang lebih rendah dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami melihat harga sokongan melebihi RM4,150 dan rintangan pada RM4,300 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2026 meningkat RM10 kepada RM4,182 setiap tan, Mac 2026 naik RM28 kepada RM4,243 setiap tan dan April 2026 melonjak RM35 kepada RM4,260 setiap tan.

Kontrak Mei 2026 bertambah RM36 kepada RM4,252 setiap tan, Jun 2026 berkembang RM37 kepada RM4,232 setiap tan manakala Julai 2026 menokok RM36 kepada RM4,211 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 120,825 lot daripada 78,794 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menurun kepada 218,306 kontrak daripada 225,251 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Februari Selatan naik RM20 kepada RM4,200 setiap tan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan