KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Ini termasuk memastikan pelaksanaannya selaras dengan tujuan asalnya iaitu bagi menjamin kelangsungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
MITI berkata penilaian berkenaan merangkumi penelitian terhadap hasil daripada akses pasaran berikutan pengurangan tarif serta peruntukan yang mungkin berpotensi menjejaskan kedaulatan dan ruang dasar perdagangan negara.
"Selain itu, penilaian turut dilakukan dalam pembangunan industri serta kesan kawal selia yang dipersetujui dalam ART yang perlu selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia sedia ada dan pada masa hadapan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai hasil semakan semula terhadap impak ART di antara AS dengan Malaysia ke atas ekonomi negara dan sama ada kerajaan akan memulakan rundingan semula bagi terma yang didapati tidak adil demi melindungi kepentingan ekonomi negara.
Selain itu, MITI berkata penilaian yang sedang dijalankan akan mengenal pasti mana-mana peruntukan di bawah ART yang memerlukan penambahbaikan atau perlindungan yang lebih komprehensif bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar berkecuali dan tidak berpihak Malaysia.
Ia termasuk komitmen negara di bawah piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian perdagangan bebas sedia ada yang dimeterai oleh Malaysia.
“Kementerian akan mengemukakan hasil kajian untuk perbincangan dan pertimbangan Jemaah Menteri dengan mengambil kira kepentingan keselamatan ekonomi nasional, pertimbangan diplomatik, implikasi perundangan serta obligasi antarabangsa Malaysia,” kata MITI.
Kementerian itu menegaskan penguatkuasaan perjanjian hanya akan berlaku selepas 60 hari pertukaran instrumen ratifikasi kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
