KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Indeks volum eksport dan import Malaysia masing-masing meningkat 13.8 peratus dan 4.0 peratus pada Disember 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata peningkatan indeks volum eksport adalah seiring dengan kenaikan indeks jentera dan peralatan pengangkutan (+23.6 peratus), barangan keluaran kilang (+22.2 peratus) serta minyak dan lemak haiwan dan sayuran (+14.5 peratus), manakala indeks volum eksport pelarasan bermusim juga meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada 177.4 mata daripada 165.8 mata.
Beliau berkata indeks nilai seunit eksport menurun sebanyak 0.4 peratus pada Disember 2025, disebabkan oleh penurunan indeks minyak dan lemak haiwan dan sayuran (-2.7 peratus), pelbagai keluaran kilang (-0.5 peratus), dan jentera dan peralatan pengangkutan (-0.3 peratus).
“Merujuk kepada perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan indeks volum masing-masing berkembang 1.8 peratus dan 8.4 peratus,” katanya.
Sementara itu, indeks volum import meningkat sebanyak 4.0 peratus pada Disember 2025 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks pelbagai barangan keluaran kilang (+32.3 peratus), bahan kimia (+27.9 peratus) dan makanan (+25.2 peratus), manakala indeks volum import pelarasan bermusim meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada 242.3 mata daripada 234.3 mata.
DOSM berkata indeks nilai seunit import juga menurun sebanyak 0.3 peratus pada Disember 2025, disebabkan oleh penurunan indeks minyak galian (-1.8 peratus), bahan kimia (-0.5 peratus) serta jentera dan peralatan pengangkutan (-0.3 peratus).
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan bahawa indeks nilai seunit import menurun sebanyak 3.0 peratus, manakala indeks volum meningkat sedikit sebanyak 15.4 peratus,” katanya.
Terma perdagangan Malaysia susut 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 123.6 mata pada Disember 2025, disebabkan oleh kemerosotan indeks untuk minyak dan lemak haiwan dan sayuran (-1.3 peratus), pelbagai barangan keluaran kilang (-0.2 peratus) dan bahan kimia (-0.2 peratus), kata DOSM.
Selain, terma perdagangan Malaysia berkembang 4.9 peratus tahun ke tahun daripada 117.8 mata pada Disember tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
