PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada dalam fasa penilaian menyeluruh terhadap kelemahan serta jurang dalam aspek urus tadbir, pengurusan dan pentadbiran bola sepak susulan peletakan jawatan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John berkata langkah berkenaan membuka ruang kepada AFC untuk membantu FAM melaksanakan penilaian dalaman berasaskan penanda aras persatuan bola sepak moden bertaraf antarabangsa.
Windsor berkata, hasil penilaian yang akan dibentangkan kepada Kongres FAM itu dijangka menjadi asas kepada perubahan struktur serta dasar yang perlu dilaksanakan bagi menjadikan FAM lebih mantap, profesional dan relevan dengan kehendak semasa bola sepak antarabangsa.
“Apa yang telah dibincangkan bersama FAM adalah untuk membantu FAM membuat penilaian terhadap beberapa aspek dalaman, khususnya urus tadbir, pengurusan dan pentadbiran bola sepak.
“Kita mahu mengenal pasti kelemahan dan jurang yang wujud. Jika dibandingkan dengan penanda aras persatuan moden dan berstandard masa kini, penilaian itu akan dibuat sebelum laporan dibentangkan kepada pihak berkepentingan, terutama Kongres FAM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.
Pada masa sama, Windsor berkata satu pasukan khas dari AFC akan dibentuk dan diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany bersama beberapa konsultan bagi melaksanakan penilaian tersebut sebelum membentangkan laporan cadangan penambahbaikan kepada FAM.
Beliau berkata AFC diberikan kebebasan penuh dan sebarang kekangan masa atau syarat khusus bagi menjalankan proses penilaian itu.
Dalam pada itu, beliau berkata AFC telah menerima syor daripada FAM untuk membentuk satu pasukan pengurusan sementara sehingga proses penilaian itu selesai.
“Kita maklum setiausaha agung tidak mampu menguruskan pentadbiran dalaman secara sendiran, justeru beliau memerlukan satu pasukan sokongan.
“Sehubungan itu, selain setiausaha agung dan bendahari, dua lagi ketua jabatan akan dipilih untuk menganggotai pasukan pengurusan ini yang akan berurusan dengan AFC dan FIFA. Itulah perancangan buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman yang kini bertanggungjawab menguruskan operasi harian berkata pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada AFC.
“Bagi pihak sekretariat, kami memang bersedia dan membuka ruang seluas-luasnya kepada AFC untuk meneliti semua aspek termasuk struktur, statut, kewangan serta pentadbiran. Kami akan bekerjasama rapat dengan AFC,” katanya.
Terdahulu, sidang media hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela.
Tindakan itu dibuat sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan atau jawatan peribadi, selain msebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang menarik perhatian umum, sekali gus antara lain bertujuan melindungi integriti FAM.
-- BERNAMA
