CYBERJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan diperluas secara berperingkat dan mula berkuat kuasa di pintu masuk negara bermula awal suku kedua tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa menjejaskan keselesaan pelancong serta operasi di pintu masuk negara.
“Sistem ini mesti bersifat lancar tanpa gangguan, khususnya dari segi mobiliti orang ramai. Di Kementerian Dalam Negeri (KDN), keputusan yang dibuat adalah berasaskan data. Daripada setiap 100 pelancong yang masuk ke negara ini, 75 peratus menggunakan pintu masuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Tambak Johor.
“Oleh itu, dalam usaha mempercepat dan melancarkan pintu masuk negara, keutamaan kita bukan sekadar kepada kelajuan semata-mata, tetapi kepada proses peralihan sistem yang teratur dan tidak mengganggu pengalaman pengembara. Matlamatnya ialah supaya pelancong tidak lagi berdepan rungutan atau kesulitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika makan tengah hari bersama media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Sistem MyNIISe akan menggantikan MyIMMs yang telah digunakan lebih 20 tahun dan sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan tinggi dan memerlukan integrasi data masa kini.
Pelaksanaan MyBorderPass juga tidak akan dibazirkan apabila MyNIISe siap sepenuhnya, sebaliknya, fungsi, dapatan dan pembelajaran daripada pelaksanaan MyBorderPass disepadukan ke dalam MyNIISe.
Menjawab kebimbangan mengenai keselamatan data imigresen dan risiko pendedahan maklumat peribadi, Saifuddin Nasution berkata proses peralihan sistem sedang dilaksanakan tidak melibatkan sebarang pemindahan atau perkongsian data yang boleh menjejaskan integriti maklumat pengguna.
Beliau berkata data pengguna kekal dalam ekosistem yang sah dan dilindungi, walaupun ketika ini terdapat tiga penyedia perkhidmatan lama masih beroperasi secara serentak di pintu masuk tertentu.
Katanya, sistem peralihan sedia ada termasuk penggunaan MyBorderPass dan modul kemasukan lain hanya memerlukan dua perkara asas daripada pengguna iaitu pendaftaran identiti melalui MyDigital ID atau kaedah eKYC, serta pengesahan pasport yang sah.
“Sistem baharu nanti menggunakan pengecaman wajah, iris dan pengesahan pasport. Maka isu kecurian atau kebocoran data imigresen tidak timbul kerana struktur datanya tidak bersilang dengan vendor lama,” katanya.
Beliau berkata penyedia perkhidmatan lama tidak membangunkan infrastruktur teras imigresen, sebaliknya hanya menyediakan sistem sokongan sementara.
Mengenai kestabilan sistem dan keperluan pelan sokongan, Saifuddin Nasution berkata KDN telah menubuhkan sebuah pasukan khusus yang bermesyuarat setiap hari bagi memantau semua komponen migrasi sistem.
Pasukan itu bertanggungjawab menyemak senarai semak teknikal, mengenal pasti potensi gangguan, menjalankan troubleshooting serta memastikan pintu masuk utama terus beroperasi tanpa henti.
“Disebabkan fasa peralihan ini bermula pada suku kedua, pasukan teknikal kita sudah pun bersidang setiap hari dari Januari lagi.
“Setiap isu sama ada sistem, infrastruktur atau kesesakan diangkat serta-merta untuk tindakan mitigasi,” katanya.
-- BERNAMA
