DUNIA

KUMPULAN PEMIMPIN, AKADEMIK KECAM LEMBAGA KEAMANAN TRUMP, DAKWA TIADA AKAUNTABILITI

28/01/2026 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Sekumpulan pemimpin politik, aktivis dan ahli akademik hari ini mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Lembaga Keamanan.

Kumpulan itu menyifatkan lembaga berkenaan sebagai usaha yang akan menggugat undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin dengan berselindung di sebalik keamanan dan pembangunan.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata dengan melantik dirinya sebagai pengerusi seumur hidup serta mempunyai kuasa memilih penggantinya sendiri, Trump telah membina sebuah badan kekal yang tidak mempunyai mandat demokratik, akauntabiliti undang-undang mahupun kesahan antarabangsa.

"Kami menolak sekeras-kerasnya Lembaga Keamanan Trump kerana ia tidak sah, menyalahi undang-undang dan berbahaya. Komuniti antarabangsa mesti menolak daripada mengambil bahagian dalam rancangan yang menyamarkan rampasan hak sebagai pembangunan, dan eksploitasi sebagai keamanan. Sebarang sokongan terhadapnya adalah satu bentuk persekongkolan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu objektif utama lembaga berkenaan adalah untuk memajukan cita-cita Trump bagi mengubah Gaza menjadi destinasi mewah berteknologi tinggi - yang digelar sebagai "Gaza Riviera". Rangka kerja itu didakwa merendahkan proses pembinaan semula wilayah yang musnah serta hak kenegaraan Palestin kepada sekadar transaksi hartanah.

Kumpulan itu berpendapat lembaga berkenaan memperlakukan tanah sebagai aset untuk dikomersialkan dan rakyat sebagai pembolehubah untuk diuruskan, manakala hak, persetujuan dan kedaulatan Palestin diketepikan sepenuhnya.

Ia berkata lembaga berkenaan dibentuk dan diumumkan tanpa kehadiran atau persetujuan wakil politik Palestin, masyarakat sivil atau komuniti yang terjejas, sekali gus menjadikannya tidak sah di bawah norma antarabangsa yang mengawal tadbir urus penyertaan dan penentuan nasib sendiri.

Kumpulan itu turut mengkritik laporan mengenai sokongan ahli tertentu dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap inisiatif berkenaan, menyifatkannya sebagai kegagalan tanggungjawab undang-undang dan menegaskan tiada badan politik boleh menghalalkan pemerolehan  tanah secara paksa atau hukuman kolektif.

Mereka berkata inisiatif itu gagal menangani krisis kemanusiaan di Gaza dengan segera, termasuk kekurangan makanan, ubat-ubatan, air bersih dan akses kepada pendidikan, sebaliknya mengutamakan infrastruktur mewah dan pelaburan spekulatif.

"Keamanan tidak boleh dipaksakan melalui struktur pemilikan, penyenyapan suara atau pergantungan ekonomi. Ia tidak boleh dipengerusikan seumur hidup, diwarisi melalui pelantikan atau diperdagangkan untuk akses pasaran. Keamanan sejati memerlukan keadilan, akauntabiliti dan pengiktirafan penuh terhadap hak Palestin di bawah undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Selain Nurul Izzah Anwar yang merupakan Pengerusi Eksekutif Politi merangkap Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), kenyataan itu turut ditandatangani oleh Pengerusi Bersama Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) Charles Santiago, Pengarah Eksekutif Third World Network Chee Yoke Ling, Prof Dr Mohd Afandi Salleh daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Presiden MAHAR Jismi Johari, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) R. Meenakshi Raman dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.

Media melaporkan pentadbiran Trump telah meminta negara-negara untuk membayar US$1 bilion bagi mendapatkan tempat tetap dalam Lembaga Keamanan itu yang bertujuan menyelesaikan konflik, menurut piagamnya yang dilihat oleh AFP.

Lembaga itu pada asalnya diilhamkan untuk memantau pembinaan semula Gaza yang musnah akibat perang, namun piagamnya dilihat tidak mengehadkan peranannya hanya di wilayah Palestin yang diduduki itu.

-- BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


VR VSS MK

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan