EKONOMI

BNM KENAKAN PENALTI KE ATAS EMPAT INSTITUSI AKIBAT KEGAGALAN PATUHI AML/CFT

29/01/2026 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan empat tindakan penguatkuasaan dengan penalti dan kompaun dikenakan ke atas dua institusi kewangan dan dua syarikat kerana gagal mematuhi keperluan pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT).

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata institusi yang terlibat ialah MBSB Bank Bhd, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), Boardroom Corporate Services Sdn Bhd dan Ilham Secretarial Services.

Bank pusat itu berkata ia telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM560,000 terhadap MBSB Bank Bhd berikutan kegagalan mematuhi keperluan yang berkaitan pelaporan transaksi yang mencurigakan (STR) walaupun transaksi itu menepati kriteria dalaman (tanda amaran) bank berkenaan .

“Sebagai institusi pelapor (RI), MBSB Bank dikehendaki mengemukakan STR kepada BNM apabila terdapat apa-apa transaksi atau cubaan transaksi pelanggan yang menepati ‘tanda amaran’ yang telah ditetapkan bagi mengesan transaksi mencurigakan.

“Langkah ini bagi mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF), serta aktiviti jenayah serius yang lain,” katanya.

MBSB Bank telah membayar RM560,000 untuk AMP yang dikenakan oleh bank pusat itu pada 3 Disember, 2025.

Dalam kenyataan berasingan, BNM berkata ia telah mengenakan AMP sebanyak RM460,000 terhadap Small and Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) kerana gagal mengemukakan STR pada kadar segera.

SME Bank juga telah membayar penalti RM460,000 itu pada 3 Disember, 2025.

Selain itu, BNM telah mengenakan kompaun sebanyak RM46,000 ke atas Boardroom Corporate Services Sdn Bhd kerana gagal mengemukakan STR dengan segera dan gagal menjalankan usaha wajar pelanggan yang dipertingkatkan (EDD).

“RI juga dikehendaki untuk menjalankan EDD ke atas pelanggan apabila risiko ML/TF dinilai lebih tinggi atau apabila perkhidmatan penama disediakan,” kata bank pusat itu sambil menambah Boardroom telah membayar kompaun berkenaan pada 16 Disember, 2025.

BNM juga mengenakan kompaun sebanyak RM8,625 terhadap Ilham Secretarial Services kerana gagal mengemukakan STR pada kadar segera dan syarikat itu telah membayar kompaun berkenaan pada 15 Disember, 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan