KANGAR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis memutuskan sistem parkir berpalang tidak akan dilaksanakan di negeri itu setelah mengambil kira beberapa pandangan termasuk pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata sistem parkir dengan caj tertentu akan diteruskan di negeri itu, namun tanpa berpalang yang akan diurus MPK serta syarikat pengendali parkir berkaitan.
"Mengambil kira beberapa faktor atas kesejahteraan rakyat demi kemakmuran negara dan juga negeri, maka diambil beberapa pandangan, kita telah merujuk kepada banyak pihak sebelum membuat pengisytiharan berkaitan sistem parkir.
"Kerajaan negeri memahami ketidakpuasan hati sebahagian rakyat terhadap pelaksanaan sistem parkir berpalang sebelum ini, justeru pendekatan baharu ini dilihat sebagai jalan tengah yang memberikan manfaat kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, di sini malam ini.
Pada 9 Julai tahun lepas, bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli mengumumkan pelaksanan sistem parkir yang mula beroperasi pada pertengahan Jun 2025 ditangguhkan serta-merta bagi tempoh enam bulan susulan rungutan orang ramai berkaitan keselesaan dan kemudahan penggunaannya.
Bekas Menteri Besar itu dipetik sebagai berkata kerajaan negeri mendapati pelaksanaan sistem berkenaan belum benar-benar memenuhi tahap keselesaan yang diharapkan pengguna dan MPK diminta untuk berunding dengan syarikat pengendali ruang tempat letak kereta itu untuk penambahbaikan.
Abu Bakar berkata pelaksanaan parkir selepas ini akan mengambil kira lokasi keutamaan serta keperluan setempat, dan tidak akan dilaksanakan di kawasan perumahan, bagaimanapun kemudahan sedia ada seperti kamera litar tertutup masih boleh dimanfaatkan bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.
-- BERNAMA
