AM

THAIPUSAM: 1,280 POLIS BERTUGAS DI PULAU PINANG

29/01/2026 06:41 PM

GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,280 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan lalu lintas dan kawalan keselamatan orang ramai sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata polis juga menubuhkan Pasukan Cantas yang membuat pemantauan berterusan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kes jenayah sepanjang tempoh berkenaan.

"Thaipusam akan disambut Ahad ini, namun perarakan pedati emas dan perak akan bermula pada Sabtu, iaitu pedati emas bergerak 6 pagi dari Lebuh Queen, manakala pedati perak pula 7 pagi hari yang sama dari Lebuh Penang dan kedua-duanya menuju ke Kuil Air Terjun.

"Berikutan itu, beberapa jalan akan ditutup secara berperingkat bermula 10 pagi Sabtu hingga 12 tengah malam Isnin, iaitu semasa perarakan pergi dan balik pedati emas dan perak berkenaan melibatkan perjalanan 6.5 kilometer (km)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Beliau berkata jalan yang akan ditutup secara berperingkat itu ialah Jalan Gottlieb, Lorong Air Terjun, Jalan Kebun Bunga, Taman Gottlieb, Jalan Burma, Jalan Wright, Jalan DS Ramanathan, Jalan Brown, Jalan Brother James, Jalan Park, Jalan Utama, Jalan Brook, Lebuh Campbell dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Abdul Rozak berkata pedati emas dijangka bergerak kembali 6 petang Isnin dari Kuil Air Terjun ke Lebuh Queen melibatkan perarakan sejauh 9.1 km, manakala pedati perak akan bergerak pada 7 petang hari yang sama kembali ke Lebuh Penang, iaitu sejauh 8.7 km.

Orang ramai terutamanya pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi arahan polis yang bertugas dan merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Dijangkakan lebih sejuta pengunjung termasuk penganut agama Hindu dari luar Pulau Pinang dan pelancong asing akan menghadiri perayaan Thaipusam bermula Sabtu hingga Isnin ini,  jadi kami nasihatkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas," katanya.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak memakai barangan kemas yang berlebihan sehingga boleh menarik perhatian penjenayah.

"Penggunaan dron sepanjang sambutan Thaipusam tahun ini juga tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan pihak berkuasa penerbangan awam. Kita bimbang ada pihak menyalahgunakan dron dengan membawa sesuatu yang bahaya," katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan serta tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhinya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan