GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang terus mempergiat pemantauan di premis-premis tumpuan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan, dan harga barangan keperluan kekal terkawal terutama menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata pemantauan itu dilaksanakan menerusi pendekatan omnipresence, iaitu kehadiran berterusan anggota penguat kuasa beruniform di lapangan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Beliau berkata tindakan itu turut diambil susulan aduan Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) berhubung dakwaan kenaikan harga 15 jenis barangan makanan keperluan sempena musim perayaan.
“Sehubungan dengan itu, KPDN Pulau Pinang turun secara aktif ke kawasan tumpuan pengguna dan pusat perniagaan bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan peniaga terhadap perundangan yang berkuat kuasa.
“Pada masa sama, Pegawai Pemantau Harga (PPH) turut ditugaskan untuk mengumpul dan merekod maklumat harga barangan keperluan di premis terlibat sebagai input pemantauan pergerakan harga pasaran,“ katanya selepas melakukan pemeriksaan serta meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di premis perniagaan di Little India, di sini hari ini.
Jegan berkata bagi Januari 2026 setakat ini, sebanyak 6,384 premis telah dipantau untuk memastikan harga barangan terkawal, bekalan mencukupi serta tiada peningkatan harga yang tidak munasabah, namun tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan 15 barangan berkenaan seperti dilaporkan oleh PHA.
Beliau berkata adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan berasaskan pemerhatian terhadap hanya beberapa individu atau premis sahaja, sedangkan KPDN menggunakan data yang lebih menyeluruh melibatkan lebih 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya sebagai asas pemantauan harga.
Pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan untuk melaksanakan program demi kepentingan pengguna dan pada masa sama berharap segala bentuk aduan dapat disalurkan terus kepada KPDN supaya tindakan dapat diambil dan bukannya membuat laporan atau kenyataan kepada pihak lain.
Selain itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi Price Catcher bagi membandingkan harga barangan keperluan harian di pelbagai premis, sekali gus membantu pengguna merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah.
Dalam perkembangan lain, Jegan berkata PJRM di Pulau Pinang terus diperkasakan melalui pelaksanaan di pelbagai lokasi strategik, khususnya di sekitar kawasan Little India sempena Thaipusam.
Beliau berkata bagi 2026, PJRM dirancang untuk dilaksanakan sebanyak 120 kali sebulan, namun setakat Januari ini sahaja sebanyak 202 lokasi PJRM telah direalisasikan di seluruh negeri, manakala pada tahun lepas lebih 2,000 program telah dilaksanakan melibatkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Terdahulu, pada Selasa lepas, PHA dilaporkan menyatakan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan makanan asas menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, susulan aduan pengguna berhubung kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan barangan keperluan asas.
-- BERNAMA
