Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Great Wall Motor (GWM) Malaysia memperkukuh komitmen jangka panjangnya dalam industri automotif negara melalui pelancaran model terbaharu WEY G9 Hi4 PHEV (WEY G9), dipasang secara tempatan (CKD) bagi menyokong pemindahan teknologi dalam segmen kenderaan tenaga baharu.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia Roslan Abdullah berkata pemasangan model kenderaan serbaguna (MPV) itu selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkasa pembangunan vendor tempatan menerusi kira-kira 40 peratus penggunaan komponen kenderan itu dibuat di Malaysia.
"Apabila kita membuat pemasangan tempatan, ia selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) di mana kami perlu memberi tumpuan lebih dari segi pembangunan vendor tempatan.
"Vendor tempatan diperlukan untuk menyumbang kepada pembuatan komponen dan daripada situ kita akan dapat memberi ataupun menjual dengan harga yang lebih kompetitif," katanya kepada Bernama selepas pelancaran WEY G9 di sini hari ini.
Roslan berkata WEY G9 turut direka bagi memenuhi keperluan keluarga dan golongan profesional di Malaysia yang mahukan kenderaan MPV mewah dengan kecekapan tenaga, ruang kabin luas untuk enam hingga tujuh penumpang.
WEY G9 juga menawarkan fleksibiliti dari segi penggunaan tenaga sebagai kenderaan plug-in hibrid (PHEV) dengan memberi pilihan penggunaan tenaga antara eletrik atau petrol memandangkan sesetengah pengguna mempunyai kebimbangan mengenai jarak perjalanan ketika menggunakan kenderaan eletrik dan juga kos minyak yang tinggi.
Roslan berkata model tersebut telah dipandu uji bagi memastikan WEY G9 selamat dan sesuai dengan jalan, iklim dan geografi di Malaysia.
Dari sudut strategi segmen kenderaan tenaga baharu (NEV), Roslan berkata pengenalan WEY G9 menandakan kemasukan GWM ke dalam segmen PHEV di Malaysia, melengkapkan penawaran rangkaian tren kuasa syarikat yang merangkumi petrol, BEV, hibrid eletrik (HEV) dan PHEV.
Majlis pelancaran WEY G9 itu dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin dan dimeriahkan dengan persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga merupakan duta dan pemilik model WEY G9 pertama di Malaysia.
Ditawarkan pada harga RM269,800, Roslan menyasarkan jualan model WEY G9 sebanyak 5,000 unit, terdapat dalam tiga warna iaitu Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black.
Jarak pemanduan elektrik kenderaan itu dapat mencapai sehingga 170 kilometer dan jarak keseluruhan melebihi 1,000 kilometer dengan penggunaan bahan api dianggarkan 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer apabila bateri rendah.
--BERNAMA
