AM

TVET BERTERASKAN INDUSTRI KUNCI LAHIR TENAGA KERJA AUTOMOTIF BERKEMAHIRAN TINGGI

29/01/2026 10:47 AM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan keperluan industri dikenal pasti sebagai faktor kritikal dalam memastikan negara mempunyai tenaga kerja automotif tempatan berkemahiran tinggi, relevan serta berdaya saing pada masa hadapan.

Pengarah Urusan MAG Auto Garage Services Sdn Bhd Dr Azlina Ahmad berkata ekosistem industri automotif, khususnya sektor perkhidmatan selepas jualan sedang berdepan perubahan pesat berikutan peningkatan penggunaan teknologi digital, sistem elektronik dan perisian kenderaan moden.

Beliau berkata bengkel kini memerlukan juruteknik yang bukan sahaja mahir membaiki kenderaan secara manual, malah mampu menganalisis data diagnostik serta memahami sistem elektronik yang semakin kompleks.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, industri tidak lagi boleh bergantung kepada kemahiran konvensional semata-mata, justeru pendekatan TVET perlu berubah dengan memberi penekanan kepada latihan praktikal, pemikiran analitik dan pembelajaran berterusan.

“TVET yang dilaksanakan bersama industri sebenar mampu melahirkan juruteknik yang bersedia bekerja, bukan sekadar lulus peperiksaan. Ini penting untuk memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan apabila teknologi kenderaan terus berubah,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai hala tuju nasional, Azlina berkata strategi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 adalah selari dengan pendekatan industri yang menumpukan kepada pembangunan juruteknik bernilai tinggi dan penggunaan teknologi moden.

Beliau melihat pelan itu sebagai peluang keemasan untuk mentransformasikan sektor automotif perkhidmatan selepas jualan menjadi bidang profesional yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Azlina berkata pendekatan TVET berasaskan tempat kerja sebenar turut membantu mengurangkan kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing, selain membina kesetiaan dan kestabilan tenaga kerja tempatan dalam jangka panjang.

“Melalui pendedahan kepada peralatan industri terkini dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tahap kesiapsiagaan pelatih dapat ditingkatkan sebelum memasuki pasaran kerja sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Latihan Selepas Jualan Bermaz Auto Berhad Md Parizal Jamian berkata sebahagian graduan TVET mempunyai asas yang baik, namun masih memerlukan penambahbaikan dari segi pendedahan kepada realiti industri serta kemahiran komunikasi profesional.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kerjasama strategik antara industri dan institusi TVET perlu diperkukuh bagi memastikan kurikulum latihan sentiasa selari dengan teknologi tinggi seperti kenderaan elektrik (EV) dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Md Parizal berkata NIMP 2030 dijangka memacu pertumbuhan ekonomi sektor pembuatan dengan sasaran penciptaan 3.3 juta pekerjaan berkemahiran tinggi serta peningkatan gaji median yang signifikan.

“Fokus pelan ini terhadap 21 subsektor utama termasuk EV bertujuan memacu inovasi dan transformasi daripada industri berasaskan kemahiran rendah kepada sektor bernilai tinggi yang kompetitif di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata penglibatan aktif industri dalam pembangunan kurikulum dan penyediaan latihan secara amali adalah elemen penting untuk menutup jurang antara latihan akademik dan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“TVET tidak boleh dilihat sebagai laluan alternatif semata-mata. Ia perlu diperkasakan sebagai laluan utama untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong transformasi industri automotif negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan