IPOH, 29 Jan (Bernama) -- Menyaksikan kehadiran gajah liar secara langsung di habitat asal mamalia itu antara pengalaman menarik yang jarang diperoleh dan memberi impak mendalam kepada peserta Program Belum Forest Connect yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 Jan lepas di Royal Belum, Gerik.
Pengurus Pulau Banding Foundation (PBF) Zulfadhlan Ahmad Khushairi berkata pengalaman berkenaan turut memberi kesedaran tentang kepentingan perlindungan hidupan liar serta kelestarian hutan hujan tropika Malaysia.
“Program ini berjaya menggabungkan pembangunan komuniti Orang Asli, kajian potensi perniagaan serta penerokaan biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata program bersama PBF dan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu bertujuan merapatkan hubungan institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Selain didedahkan kepada realiti sosioekonomi komuniti Orang Asli di Kampung Klewang, Zulfadhlan berkata peserta turut mengunjungi Air Terjun Sungai Kooi dan Sungai Ruok, menyaksikan hidupan liar termasuk burung enggang, harimau Malaya dan gajah serta habitat tumbuhan hutan hujan tropika dan ikan kelah.
“Program ini juga sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), peserta menyampaikan modul pengenalan perniagaan asas dan pengurusan simpanan wang serta menyerahkan barangan asas kepada 50 keluarga Orang Asli," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Akademik UiTM Puncak Alam merangkap Pengarah Projek, Zulfa Zainal Abidin berkata pendekatan kajian lapangan memberi pemahaman mendalam terhadap potensi dan cabaran perniagaan komuniti.
"Kita turut anjurkan aktiviti ‘water confident’ bagi membina keyakinan peserta dalam persekitaran air sambil menekankan keselamatan dan kelestarian ekosistem akuatik," katanya.
-- BERNAMA
