SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) teguh dalam komitmen untuk menyokong perkongsian strategik antarabangsa, terutamanya kolaborasi Malaysia-Korea Selatan dalam teknologi penjagaan kesihatan, translasi penyelidikan dan integrasi industri-akademia.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata matlamat kementerian jelas, iaitu memupuk tenaga kerja yang bersedia masa depan dan berdaya saing pada peringkat global, memperkukuh saluran inovasi dan memastikan institusi di Malaysia kekal di hadapan dalam teknologi yang memuncul.
“Kerjasama seperti itu bukan hanya meningkatkan kapasiti penyelidikan tetapi juga mengukuhkan ekosistem penyelidikan Malaysia, membolehkan pembangunan inovasi tempatan, memupuk bakat bernilai tinggi, memacu penglibatan industri dan mempercepat translasi penyelidikan kepada amalan klinikal sebenar.
“Ini penting jika Malaysia mahu kekal berdaya saing dalam landskap inovasi dunia,” katanya pada Majlis Pelancaran Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam di sini hari ini.
Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 ialah hasil kerjasama strategik antara UiTM dan rakan Korea Selatan, khususnya Angel Robotics.
Kerjasama itu menyediakan platform penting untuk pemindahan teknologi, peluang latihan kepada petugas dan penuntut serta penyelidikan kolaboratif berimpak tinggi dalam rehabilitasi robotik.
Selain itu, Zambry berkata Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 mewakili penemuan transformatif serta teknologi berimpak tinggi yang meningkatkan mobiliti, mempercepat proses rehabilitasi, memulihkan keupayaan berdikari dan menambah baik kualiti hidup pesakit.
“Ia melambangnya bagaimana robotik yang canggih dan penyelesaian digital dapat merevolusikan penjagaan klinikal di samping menyokong agenda digital Malaysia merentas pendidikan tinggi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Saya mendoakan kejayaan inisiatif ini. Semoga Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 membawa manfaat berterusan kepada pesakit, keluarga serta penyedia penjagaan kesihatan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi, perkongsian lebih kukuh serta Malaysia yang lebih berdaya tahan serta sihat,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata pelancaran Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 menandakan lonjakan besar dalam kualiti perkhidmatan rehabilitasi di HASA sekali gus memperkukuh peranan hospital sebagai pusat rujukan rehabilitasi berteknologi tinggi.
Beliau berkata inisiatif itu selari dengan aspirasi UiTM untuk mencapai kecemerlangan pada peringkat dunia menerusi perkhidmatan hospital pengajar universiti bertaraf antarabangsa yang dipacu oleh inovasi, penyelidikan dan kerjasama strategik.
“Inisiatif teknologi ini juga menyokong objektif UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia dan maju.
“Integrasi Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 dalam penjagaan pesakit dan pendidikan akan meletakkan UiTM di hadapan selain menyumbang kepada penyediaan infrastruktur yang kondusif serta ekosistem digital terkini,” katanya.
-- BERNAMA
