KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mahu mengekalkan pengeluaran domestik kira-kira dua juta tong setara minyak sehari (MMboe/d) dalam tempoh tiga tahun akan datang melalui pelaburan berterusan dalam penerokaan, pembangunan laut dalam dan pemulihan minyak yang dipertingkatkan.
Syarikat minyak nasional itu yang mengeluarkan tinjauan aktiviti untuk 2026-2028 hari ini, berkata projek pengoptimuman sumber daripada aset pengeluaran seperti Belud, Sepat dan Kurma Manis terus memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga Malaysia, mewujudkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan teknikal dan penyelesaian inovatif daripada rakan kongsi perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE).
“Pada masa yang sama, inisiatif penyahkarbonan di bawah kluster BIGST (Bujang, Inas, Guling, Sepat dan Tujoh) sedang berjalan untuk memajukan laluan Petronas menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, membolehkan operasi yang lebih rendah karbon di Semenanjung Malaysia,” kata syarikat itu.
Memandangkan tekanan margin yang dijangkakan dan ketidakstabilan berterusan dalam segmen hiliran, Petronas berkata ia akan mengutamakan kecemerlangan operasi, daya tahan rantaian bekalan dan kepelbagaian produk, sambil memperluas lagi kehadirannya dalam kimia khusus dan biobahan api, dengan biopenapisan dijangka memulakan operasi pada separuh kedua 2028.
“Tinjauan itu juga menekankan inovasi produk seperti cecair pintar terma Petronas Iona untuk kenderaan elektrik dan Iona Tera untuk penyejukan pusat data, yang direka bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah selaras dengan peralihan global ke arah kemampanan,” katanya.
Bagi segmen gas dan maritim, selaras dengan sokongan kumpulan terhadap gas sebagai bahan api peralihan utama, Petronas berkata ia akan terus memastikan bekalan gas asli dan gas asli cecair (LNG) yang boleh dipercayai, sambil meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan di seluruh operasinya.
“Keutamaan kini termasuk memperbaharui barisan armada, pelaburan dalam penyelesaian perkapalan rendah pelepasan dan pembangunan yang berterusan bagi portfolio LNG serta kapasiti regasifikasi untuk menyokong keperluan tenaga Malaysia yang sentiasa berubah,” katanya.
Petronas turut berhasrat untuk mengembangkan portfolio LNG syarikat dengan memajukan kemudahan LNG terapung yang ketiga di Sipitang, Sabah dan meluaskan ke nod bekalan baharu seperti Kanada, di bawah segmen gas dan maritim.
Tinjauan itu juga menekankan kemajuan di bawah penyelesaian tenaga bersih Petronas dengan Gentari telah mencapai kapasiti tenaga boleh baharu global melebihi 8.5 gigawatt dan mematangkan peluang untuk hidrogen bersih sebanyak 175 kiloton setahun.
Petronas menambah inisiatif peralihan tenaganya distrukturkan untuk membangunkan kecekapan OGSE Malaysia secara sistematik dalam domain baru muncul, daripada pemerangkapan dan penyimpanan karbon kepada infrastruktur tenaga boleh baharu, sekali gus meletakkan industri domestik untuk menyertai pasaran pertumbuhan tinggi melangkaui sektor minyak dan gas tradisional.
-- BERNAMA
