IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Program Temu Rakyat Parlimen Gopeng bukan sahaja mampu mendekatkan orang ramai dengan pelbagai agensi kerajaan, malah memberi pemahaman tentang dasar dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Perak.
Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing berkata program kali pertama dianjurkan itu diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat hari ini sebelum diperluas ke DUN Teja dan DUN Simpang Pulai.
“Program ini mengumpulkan semua pihak bertugas tanpa mengira sempadan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik, termasuk kaunter aduan dan penyampaian maklumat oleh pelbagai agensi kerajaan secara langsung,” katanya pada sidang media sempena program berkenaan yang diadakan di Padang Awam, Taman Lapangan Jaya Ipoh di sini hari ini.
Beliau berkata antara agensi terlibat ialah Majlis Bandaraya Ipoh, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Zakat Perak Al Ridzuan serta Jabatan Penjara Malaysia dengan penekanan kepada kesedaran isu buli dalam kalangan masyarakat dan anak muda, sejajar tema yang berbeza bagi setiap lokasi program.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, ADUN Simpang Pulai Wong Chai Yi serta ADUN Teja Sandrea Ng Shy Ching.
Sementara itu, Ng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak berkata program itu menjadi platform menyampaikan maklumat tentang pelbagai inisiatif kerajaan termasuk belanjawan, projek pembangunan fizikal, skim kebajikan, geran dan program sosioekonomi.
“Program ini berperanan sebagai pusat sehenti supaya rakyat lebih memahami peranan agensi kerajaan dan dapat mengakses maklumat serta membuat aduan secara terus.
"Selain itu, ia bertujuan memperkasakan demokrasi di peringkat akar umbi melalui penilaian prestasi jawatankuasa masyarakat setempat,” katanya.
Ng berkata Program Temu Rakyat Parlimen Gopeng diadakan dengan penyertaan 10 agensi kerajaan dan kaunter aduan untuk menerima isu rakyat, yang akan diikuti tindakan susulan daripada agensi berkaitan.
-- BERNAMA
