JENAYAH & MAHKAMAH

P. PINANG BERI KERJASAMA PENUH KEPADA SPRM SIASAT PEGAWAI KANAN KERAJAAN NEGERI

31/01/2026 06:58 PM

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara bebas berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata SPRM telah mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

“Sejak SPRM memulakan siasatan, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan tugas mereka secara bebas kerana kami bukan penyiasat tapi kerajaan negeri akan bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Thaneer Panthal sempena Thaipusam di Jalan Air Terjun di sini hari. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

SPRM dilaporkan berkata kertas siasatan itu dibuka susulan pendedahan dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lepas.

Menurut SPRM, pasukan siasatan telah hadir ke beberapa pejabat disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan kesemua bahan itu kini dalam proses penelitian, dan selain itu SPRM turut merakamkan percakapan dua individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Chow berkata isu itu sebenarnya telah dibangkitkan dan diberi penjelasan semasa Persidangan DUN Pulau Pinang pada November tahun lepas dan penjelasan yang diberikan ketika itu dianggap memuaskan.

Beliau bagaimanapun berkata isu itu dibangkitkan semula baru-baru ini sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.

Chow ketika mengulas kedudukan pegawai kanan itu berkata individu berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri memanggil pegawai itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut selain perbincangan di DUN sebelum ini, beliau berkata ia tidak perlu kerana kerajaan negeri berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan