GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Kejadian hakisan pantai di Batu Ferringhi dan sepanjang koridor utara Pulau Pinang bukan berpunca daripada aktiviti tambakan atau pembangunan berlebihan, sebaliknya dipengaruhi faktor semula jadi dan perubahan cuaca bermusim.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kajian teknikal terperinci berhubung hakisan pantai di beberapa lokasi termasuk Batu Ferringhi, Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah serta mengesahkan keperluan pelaksanaan langkah mitigasi segera di kawasan terjejas.
“Sekiranya kejadian hakisan itu dikaitkan dengan pembangunan, ia hanya berlaku di kawasan Seri Tanjung Pinang namun kawasan hakisan yang dikenal pasti terletak sekurang-kurangnya 10 kilometer daripada lokasi tambakan itu, ia telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lepas.
“Kejadian hakisan tidak berlaku secara berterusan, sebaliknya mengikut musim tertentu dan lokasi pertama yang terjejas adalah di hadapan Hotel Rasa Sayang,” katanya di sini hari ini.
Chow berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang mendakwa pembangunan berlebihan di kawasan terlalu hampir dengan garis pantai selain penambakan laut yang ketara dipercayai antara punca hakisan teruk di Batu Batu Ferringhi dan Tanjong Bungah pada tahun ini.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) R. Meenakshi sebelum ini dilaporkan berkata tindakan mitigasi dengan pemasangan beg pasir dan timbunan batu di kawasan terjejas tidak bersifat kekal kerana ia tidak dapat menghalang hakisan daripada terus berlaku.
Meenakshi berkata pihaknya khuatir dengan kejadian alam yang berlaku di dua lokasi tumpuan pelancong dan penduduk setempat itu sehingga memusnahkan ruang pesisir pantai berkenaan.
Chow ketika mengulas lanjut mengenai Batu Ferringhi berkata kerajaan negeri pernah melaksanakan projek penambahan pasir enam hingga tujuh tahun lepas termasuk pembinaan dua sistem saliran keluar di Sungai Batu dan Sungai Emas bagi mengelakkan banjir di kawasan kampung berhampiran.
“Projek itu melibatkan lanjutan saliran sejauh 2,300 meter ke laut dan menariknya, kawasan Ferringhi Bay kini memiliki pantai yang luas dan panjang secara semula jadi tanpa sebarang aktiviti tambakan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata dakwaan pihak yang mengaitkan hakisan itu dengan projek penambakan Pulau Andaman adalah tidak berasas kerana tiada kerja penambakan dijalankan pada tahun lepas, malah ia telah bermula lebih sedekad lepas dengan kerja pemasangan perimeter perlindungan dilaksanakan sejak awal projek.
Beliau berkata kerja yang sedang dijalankan ketika ini hanyalah pengisian baki kawasan yang telah dirancang dan kerajaan negeri akan terus merujuk kepada agensi teknikal berkaitan bagi memantau keadaan hakisan pantai serta memastikan langkah mitigasi yang bersesuaian dapat dilaksanakan demi keselamatan dan kepentingan penduduk setempat.
“Badan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan pandangan kepada orang ramai dan tidak seharusnya membuat dakwaan melampau yang tidak berasas dan tanpa sokongan fakta,” katanya.
-- BERNAMA
