JENAYAH & MAHKAMAH

MAYAT LELAKI DITEMUKAN DALAM LONGKANG DI AYER KEROH

31/01/2026 08:42 PM

MELAKA, 31 Jan (Bernama) -- Mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang berdekatan perhentian bas di kawasan perkilangan Ayer Keroh di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mayat warga emas berusia 64 tahun itu ditemui seorang pemuda pada 3.30 petang dalam air berkedalaman 0.2 meter.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 1.5 meter dan mayatnya ditemukan oleh pemuda berusia 19 tahun itu ketika saksi berkenaan ingin membuang sampah ke dalam tong berdekatan tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh badan dan hanya terdapat satu luka kecil berukuran lebih kurang 1 inci pada bahagian kiri dahi yang dipercayai akibat kesan terjatuh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya mayat itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan