SUKAN

ISU FAM: PENYOKONG DIHARAP TIDAK LUNTUR SEMANGAT

01/02/2026 04:21 PM

SUNGAI PETANI, 1 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berharap penyokong tempatan tidak hilang semangat susulan krisis berterusan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya beliau yakin di sebalik isu yang berlaku, sukan yang diminati ramai itu akan terus mendapat sokongan peminatnya.

“Bola sepak menjadi antara sukan yang mempunyai ramai peminat, jadi saya harap FAM dapat menyelesaikan isu ini dengan baik, teratur, tertib dan dengan penuh hikmah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Jalan Kuala Ketil dekat sini, hari ini.

FAM berdepan krisis bermula September lepas selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan badan induk itu dan tujuh pemain, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Pada Rabu lepas, semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

“Saya menghormati keputusan Exco FAM untuk meletakkan jawatan. Di peringkat kementerian, kami berharap FAM akan membuat keputusan terbaik. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut,” kata Dr Mohammed Taufiq.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan