GERIK, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan untuk memberi tempoh lanjutan enam bulan kepada syarikat konsesi yang terlibat dengan projek pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) selepas tempoh kelulusan prinsipal mereka tamat pada September 2026.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pada peringkat awal, KKR telah memberikan tempoh masa tertentu kepada syarikat terlibat bagi memastikan kewangan mereka mencukupi sebelum melaksanakan projek itu.
“Selepas kita memberi kelulusan bersyarat, syarikat konsesi perlu berunding dengan institusi kewangan untuk mendapatkan modal yang diperlukan bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan,” katanya pada sidang media ketika melawat JRTB (FT004) di sini, termasuk lokasi kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun tahun lepas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembinaan lebuh raya WISE.
Pada 1 Mei lepas, Nanta memaklumkan bahawa KKR telah menyerahkan surat kelulusan kepada pihak pemaju, yang perlu melaksanakan kerja-kerja dalam tempoh ditetapkan.
Sebelum ini dilaporkan, Lebuhraya WISE sepanjang 60 kilometer itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala, bermula dari Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya ke Kuala Kangsar.
Projek ini juga dijangka menjadi alternatif laluan pengguna selain Terowong Menora.
-- BERNAMA
