KOTA BHARU, 1 Feb (Bernama) -- Polis menumpaskan kumpulan yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri susulan penahanan lima individu dalam beberapa serbuan berasingan di Kelantan, sejak dua hari lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tangkapan itu susulan laporan kes pecah cermin kereta dan curi yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi, Jumaat lepas di tepi jalan Tanah Perkuburan Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, membabitkan kerugian dianggarkan RM1,100.
Beliau berkata hasil risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan melakukan serbuan pada pukul 12.30 tengah malam tadi di tiga lokasi berasingan iaitu di laluan pemeriksaan Kompleks ICQS Rantau Panjang, sebuah rumah di Kampung Seligi dan sebuah lagi rumah di Kampung Gaal, Pasir Puteh.
“Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 32 hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk 18 telefon bimbit, 11 dompet, 41 beg tangan dan beg galas pelbagai jenama, tujuh utas barang kemas, dua jam tangan serta dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira bersama anak kunci.
Mohd Yusoff berkata semakan mendapati tiga lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala dua wanita berkenaan tidak mempunyai rekod lampau.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Katanya mahkamah membenarkan semua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
“Tangkapan itu berjaya menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta di Kelantan dan Terengganu dengan anggaran kerugian keseluruhan RM32,200,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
