KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kajian cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika ini adalah bagi menilai kebolehlaksanaannya dan tidak wajar menjadi “polemik” seolah-olah telah diputuskan untuk dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain melihat sama ada konsep pilihan raya datuk bandar boleh dilaksanakan atau sebaliknya, kajian itu juga menilai kelebihan dan kekurangan cadangan itu.
“Konsep pemilihan datuk bandar bukanlah perkara baharu dan telah diamalkan di banyak negara demokrasi di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kajian itu dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak Disember lepas, susulan Rang Undang-Undang Persendirian dikemukakan beberapa Ahli Parlimen untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Loke berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai kedudukan yang berbeza berbanding kerajaan tempatan di negeri-negeri lain kerana Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh kerajaan Persekutuan.
Isu berkenaan juga tidak wajar dilabelkan sebagai agenda mana-mana parti politik kerana terdapat pelbagai pihak lain yang turut mencadangkannya sebelum ini.
“Jadi, saya lihat bahawa ini bukan isu DAP. Ramai juga pihak lain telah pun mencadangkannya termasuk (bekas Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini dalam satu forum secara terbuka mengatakan bahawa Kuala Lumpur sepatutnya ada pemilihan datuk bandar supaya ada lebih banyak accountability (kebertanggungjawapan),” katanya.
Sementara itu, Loke berkata kerajaan mewajibkan semua ejen tiket dalam talian (OTA) mengintegrasikan kod QR secara terus ke dalam setiap tiket bas ekspres yang dijual bermula bulan ini.
Langkah itu bertujuan menyelesaikan isu kesesakan di TBS, yang sebelum ini penumpang terpaksa beratur panjang di kaunter semata-mata untuk menukar tiket OTA kepada kod QR.
“Mulai bulan ini, semua penjualan tiket melalui OTA mesti ada kod QR. Jadi untuk mana-mana tiket yang akan dibeli, mereka tidak perlu lagi menukar kod QR secara fizikal apabila sampai ke TBS,” katanya.
Loke berkata bagi penumpang yang telah melakukan pembelian tiket bas sebelum Februari yang tidak mempunyai kod QR, mereka masih boleh mendapatkan kod itu secara dalam talian melalui portal rasmi TBS dengan bayaran RM1 atau hadir ke kaunter.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Cawangan Bandar Sri Permaisuri akan berpindah ke TBS bermula Mac.
“Pejabat lama terletak di lot kedai dan menyebabkan keadaan sekitar sesak dengan orang ramai yang hendak berurusan dengan JPJ. Di lokasi baharu ini, ia lebih mesra pengguna dan mempunyai ruang parkir yang banyak dan mudah dicapai dengan pengangkutan awam,” katanya.
-- BERNAMA
