JENAYAH & MAHKAMAH

IMIGRESEN SELAMATKAN PEMBANTU RUMAH WARGA INDONESIA JADI MANGSA EKSPLOITASI

04/02/2026 12:16 AM

SEREMBAN, 3 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, disyaki menjadi mangsa eksploitasi, menerusi operasi di sebuah kediaman di Taman Kemayan, Seremban 2, di sini petang tadi.

Pengarah JIMNS Kennith Tan berkata dalam operasi selama dua jam bermula pada 1 tengah hari itu, pihaknya menemukan wanita warga asing berusia 51 tahun sedang bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama kediaman berkenaan. 

"Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah. Mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental.

"Disebabkan itu, mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Senawang bagi tujuan perlindungan serta membantu siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata susulan itu, seorang majikan wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007, manakala dua individu lain dikeluarkan notis saman sebagai saksi untuk hadir memberikan keterangan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Seremban.

Tan berkata operasi penyelamatan itu dijalankan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 sebagai rujukan bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang. 

Beliau berkata JIMNS komited membanteras sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan dengan orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan keadilan dapat ditegakkan.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan