PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Aspek perjawatan dan skim perkhidmatan dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijangka diselesaikan selewatnya awal suku kedua tahun ini, sekali gus membuka laluan kepada pengukuhan operasi kawalan sempadan negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini, soal skim perkhidmatan dan perjawatan berada di peringkat akhir penelitian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kelulusan.
Beliau berkata AKPS memerlukan 13,721 perjawatan atau pegawai bagi melancarkan operasi sekali gus memastikan pintu masuk yang diwartakan sentiasa selamat.
“Perkembangan skim perkhidmatan, ia sedang diperhalusi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk persetujuan dalam masa terdekat.
“Sejurus mendapat persetujuan Perdana Menteri, sesi penerangan akan dilakukan sebelum penawaran skim dibuat dan ini semua dijangka dapat diselesaikan pada hujung suku pertama tahun ini ataupun di awal suku kedua 2026,” katanya.
Berucap pada majlis amanat Ketua Pengarah AKPS di sini hari ini, beliau berkata pengambilalihan aset milik agensi teras juga akan dilaksanakan bagi menyokong keperluan operasi.
“Ini kerana aset strategik dan berteknologi tinggi milik agensi teras hanya boleh dioptimumkan apabila AKPS mempunyai sumber manusia yang mencukupi selain mereka yang terlatih untuk mengendalikan aset itu kelak,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata penubuhan Pusat Tanggungjawab (PTJ) juga telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk persetujuan sebelum diserahkan kepada JPA untuk tindakan seterusnya.
“Penubuhan Pusat Tanggungjawab ini secara langsung akan memberi tanggunjawab lebih berat kepada Komander-komander Pintu masuk yang terlibat seperti Pelabuhan Klang, Bukit Kayu Hitam, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan lain-lain lagi.
“Penubuhan PTJ ini tidak akan bermakna tanpa sumber manusia yang mencukupi dilapangan kelak,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Mohd Shuhaily berkata PTJ akan berfungsi seperti sebuah kontinjen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal selia aspek kewangan, kebajikan dan pentadbiran.
“Keperluan untuk kita mewujudkan PTJ itu amat-amat diperlukan dan kita ada cadang 10 PTJ (diwujudkan) tetapi ada kewajaran yang difikirkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman. Beliau mengesyorkan supaya ianya ditambah terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
