JENAYAH & MAHKAMAH

THAIPUSAM 2026: 2 DITAHAN, 8 LAPORAN POLIS DITERIMA DI PULAU PINANG

03/02/2026 09:25 PM

GEORGE TOWN, 3 Feb (Bernama) --  Polis Pulau Pinang menerima lapan laporan polis membabitkan pelbagai kes sepanjang sambutan Thaipusam di negeri itu sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata empat kertas siasatan dibuka, masing-masing melibatkan dua kes jenayah kekerasan dan dua kes jenayah harta benda, dengan dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata secara keseluruhan sambutan Thaipusam 2026 peringkat Pulau Pinang berlangsung teratur, lancar dan selamat seperti dirancang.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang menggerakkan seramai 1,280 anggota bagi menjamin keselamatan penganut, pengunjung dan pengguna jalan raya sepanjang sambutan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Beliau berkata PDRM menganggarkan kira-kira 1.1 juta penganut Hindu dan pengunjung menghadiri sambutan Thaipusam di Pulau Pinang sepanjang empat hari penganjurannya.

Azizee berkata pergerakan pergi dan balik pedati emas serta pedati perak turut berjalan lancar di bawah kawalan rapi PDRM tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“PDRM Kontinjen Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan kawalan keselamatan sepanjang sambutan Thaipusam 2026, yang disifatkan antara paling berjaya dan selamat berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan