KANGAR, 4 Feb (Bernama) -- Program Konvoi Gemilang 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi platform menyantuni golongan asnaf di Perlis dengan pelbagai bentuk bantuan berjumlah lebih RM20,000 disalurkan sempena sambutan ulang tahun penubuhan agensi itu.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata sumbangan itu disampaikan menerusi kerjasama pihaknya bersama subsidiari serta rakan strategik termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Melalui penganjuran program ini, kerjasama erat antara MARA, subsidiari MARA serta agensi berkaitan dapat diperkukuh, selaras dengan aspirasi sambutan 60 tahun penubuhan MARA,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini.
Konvoi motosikal melibatkan 270 peserta itu diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Konvoi itu bermula di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebelum singgah di lima lokasi termasuk dua rumah asnaf, premis perusahaan tempatan, pusat usahawan serta Arked MARA Kangar.
Zulfikri berkata bantuan yang disalurkan meliputi bantuan persekolahan, bantuan kepada pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, baik pulih rumah kediaman serta bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan.
“Program ini dapat memberi impak positif yang berterusan kepada komuniti setempat serta menjadi simbol kejayaan dan kecemerlangan MARA dalam melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.
Sepanjang program itu, bantuan tunai dan kotak makanan kepada asnaf serta sumbangan kepada anak angkat subsidiari MARA iaitu Rural Capital Berhad (RCB) turut disampaikan selain sesi sembang santai bersama usahawan MARA.
Program berkenaan juga mempromosikan Arked MARA Kangar yang menyediakan premis perniagaan tersusun bagi memperkasakan usahawan Bumiputera dan merancakkan ekonomi setempat.
Selain RCB, kerjasama strategik itu juga melibatkan Yayasan Pelajaran MARA manakala Institut Kemahiran MARA Beseri bertindak sebagai agensi pelaksana bagi kerja pembaikan rumah asnaf.
-- BERNAMA
