AM

DEMI YB HELMY, LEE SANGGUP TUKAR ALAMAT JADI PENDUDUK DUYONG

04/02/2026 01:38 PM

MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Kagum dengan usaha dan kerja keras ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, seorang wanita sanggup menukar alamat dalam kad pengenalannya semata-mata untuk menjadi penduduk di kawasan itu.

Lee Kim Choo, 55, yang tinggal di Taman Ayer Keroh Permai, hadir seawal 8 pagi di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh sempena Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/ 2026, untuk menukar alamat kad pengenalannya dan bertemu sendiri dengan Mohd Noor Helmy.

"Setiap hari saya akan buka Facebook untuk tonton kandungan yang dimuat naik oleh YB Helmy. Saya kagum dengan kerja keras beliau yang membantu semua penduduk di Duyong tanpa kira kaum.

"Ini kali pertama saya bertemu YB Helmy dan memang beliau seorang yang amat mesra dengan semua orang. Saya akan tinggal di Duyong jika pertukaran alamat ini diluluskan," katanya kepada pemberita.

Lim juga berharap Program HEBAT dapat diadakan setiap bulan kerana ia memberi ruang lebih luas kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka secara terus melalui aduan kepada Exco berkaitan.

Program HEBAT dilaksanakan dua bulan sekali menjadi platform dalam memudahkan urusan dan menjimatkan masa rakyat dalam menyalurkan sebarang bentuk aduan di peringkat komuniti.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata ketika ini beliau difahamkan terdapat beberapa orang yang menukar alamat mereka ke Duyong.

Beliau berkata pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong yang diadakan tahun lepas, sebanyak 50 individu direkodkan menukar alamat rumah mereka di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka yang dibuka khas semasa program itu berlangsung.

Bagaimanapun katanya, sama ada pertukaran alamat itu diluluskan atau tidak adalah di bawah bidang kuasa JPN Melaka.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan