SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr Malik Yatam, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pertama yang berjaya menamatkan pengajian ketika menjalani hukuman di penjara.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, pertemuan seumpama itu kali pertama diadakan membabitkan Sultan Sharafuddin bersama bekas banduan yang mendapat pengampunan sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024.
Pada pertemuan di sebuah hotel di ibu kota itu semalam, Sultan Sharafuddin turut berkenan bertanyakan khabar tentang perkembangan hidup Malik selepas dibebaskan dari Penjara Kajang pada 2024 dan perancangan masa hadapannya.
Sultan Selangor turut berkenan menasihati Malik untuk terus menjaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup.
“Pertemuan berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu,” menurut hantaran itu yang turut memaparkan gambar Malik bersalaman serta memeluk Sultan Sharafuddin sambil mengusap air mata dan ditenangkan oleh baginda.
Menerusi hantaran itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan beliau layak diberikan peluang kedua.
“Baginda telah mempertimbangkan pengampunan ini sebaik mungkin melihat kepada semua faktor yang telah disembah maklumkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 Nov 2024,” menurut hantaran itu.
Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS), hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, Malik, 39, akhirnya dibebaskan pada 11 Dis 2024.
Menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM), hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.
-- BERNAMA
