KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pusat beli-belah Intermark Mall meraikan kehadiran Tahun Kuda sempena Tahun Baharu Cina (CNY) dengan menampilkan kempen Heritage in Bloom yang diinspirasikan daripada budaya Peranakan, bermula 26 Feb ini.
Pengurus Besar Pemasaran Intermark Mall, Evelyn Woon berkata tema diilhamkan daripada seni budaya warisan campuran unik Peranakan itu mengetengahkan identiti berbagai-bagai budaya dan sejarah Malaysia, memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman tradisi melalui lensa kontemporari mencerminkan permulaan tahun baharu yang penuh harapan.
“Budaya Peranakan merupakan cerminan sejarah Malaysia yang menggabungkan berbagai-bagai pengaruh untuk membentuk sesuatu yang tersendiri dan berakar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kempen itu telah mengubah Atrium Tingkat Bawah pusat beli-belah tersebut dengan suasana meriah berinspirasi budaya Peranakan yang menampilkan reka bentuk berbunga, corak hiasan berwarna-warni dengan pemasangan astaka khas Peranakan House.
Beliau berkata kempen itu mengetengahkan tradisi budaya yang bergerak seiring dengan gaya hidup moden.
“Menerusi kempen Heritage in Bloom, kami ingin menampilkan ekspresi budaya ini dengan secara semula jadi dalam suasana gaya hidup bandar, membolehkan penduduk tempatan dan pelawat antarabangsa merasai sendiri tradisi ini.
“Masanya juga sangat bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, untuk membawakan pengalaman budaya ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di ibu kota. Pengunjung boleh menantikan pelbagai aktiviti menarik seperti peragaan kebaya Peranakan asli, sandal Nyonya berhiaskan manik dan merasai pelbagai makanan asli di Intermark Mall pada Tahun Kuda ini,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan itu, segmen Heritage CNY Marketplace menampilkan tawaran terpilih daripada penyewa termasuk Carven Ong dan SoMe Boutique, mempamerkan fesyen perayaan, barangan dan hasil seni kraf dengan sentuhan kontemporari
Acara lain yang akan ditampilkan termasuk persembahan tarian singa tradisional, adab-adab di meja makan yang diinspirasikan daripada warisan Peranakan serta elemen penggayaan meja oleh penggaya dalaman Dr Garima Chopra.
Penggemar makanan boleh menikmati citarasa makanan Peranakan melalui bahan-bahan masakan dan buku masakan oleh chef selebriti Debbie Teoh, yang menerima penghargaan di Anugerah Gourmet Dunia 2024.
Kempen itu juga menggabungkan inisiatif yang berfokus pada kelestarian seperti Blooming Spring Cleaning, kempen pengumpulan pakaian terpakai dan inisiatif ReBag, berserta penebusan perayaan termasuk paket angpau eksklusif Intermark Mall dan ganjaran Tahun Baharu Cina.
-- BERNAMA
