AM

KEMPEN JUBLI PERAK ALLIANZ MALAYSIA TAWAR GANJARAN MENARIK, EKSKLUSIF

04/02/2026 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) meraikan ulang tahun ke-25 tahun ini dengan melancarkan kempen jubli perak di seluruh negara, menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi ganjaran termasuk kenderaan elektrik (EV), percutian ke Iceland serta pengalaman menjamu selera dan melancong secara eksklusif.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat berkenaan memaklumkan kempen itu ialah sebahagian daripada sambutan 25 tahun operasinya di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen dalam melindungi pengguna dan menjamin masa depan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata pencapaian itu melambangkan pertumbuhan, ketahanan dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap syarikat itu selama suku abad.

"Inilah detik bersejarah buat kami, meraikan 25 tahun kepercayaan dan usaha menjamin kehidupan. Jubli perak ini bukan sekadar refleksi pertumbuhan sebagai sebuah organisasi, tetapi juga menjadi bukti kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan itu.

Wang berkata syarikat berkenaan kini melangkah ke era baharu yang menumpukan pertumbuhan berterusan, inovasi dan libat urus yang lebih rapat dengan pelanggan.

"Ketika kami melangkah ke hadapan, kami kekal komited untuk menyokong rakyat Malaysia melalui pelbagai fasa penting kehidupan dan memperkasakan mereka untuk bergerak maju dengan yakin, serta mengetahui masa depan mereka terjamin bersama-sama kami," katanya.

Sebagai sebahagian daripada sambutan, seorang pelanggan berpeluang memenangi sebuah EV Proton e.Mas 5 di bawah Burst 1 (dari 1 Jan hingga 30 April) kempen ulang tahun ke-25, manakala 24 pelanggan lain berpeluang menikmati pengalaman menjamu selera eksklusif bernilai RM1,000 setiap seorang.

Di bawah Burst 2 (dari 1 Mei hingga 31 Julai), sepasang pemenang akan dipilih untuk memenangi percutian ke Iceland, manakala 24 pelanggan lagi berpeluang mendapat pengalaman pelancongan bernilai RM2,000 setiap seorang. Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan di bawah kempen ini mencecah RM200,000.

Selain itu, Allianz Malaysia akan menganjurkan jerayawara di lokasi utama termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, menampilkan aktiviti interaktif dan maklumat tentang penyelesaian perlindungan yang ditawarkan.

Pelanggan yang ingin menyertai kempen ini perlu mendaftar untuk polisi individu yang layak, mendaftarkan minat mereka dalam laman web kempen, menjawab soalan dan mewujudkan akaun MyAllianz sekiranya belum memilikinya.

"Lebih banyak polisi yang dibeli, lebih tinggi peluang untuk memenangi satu daripada pengalaman eksklusif yang ditawarkan. Untuk maklumat lanjut dan syarat kelayakan, sila layari az.my/25anniversary," menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, Allianz Malaysia beroperasi menerusi anak syarikatnya, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, serta mempunyai 30 cawangan di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan