AM

KADAR ZAKAT FITRAH JOHOR RM8, RM12, RM20

05/02/2026 01:13 PM

JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM8, RM10 dan RM20 pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata penetapan itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Johor, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Beliau berkata penetapan harga beras dan peratus penggunaannya diperoleh daripada Bahagian Kawalselia Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemborong dan peruncit di negeri itu.

Mohd Fared berkata ketetapan harga zakat fitrah bagi RM8 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya seperti super special tempatan, beras rebus, beras hancur dan beras perang.

"Kadar RM10 pula kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras putih import Thailand, Pakistan dan Vietnam.

"Kadar RM20 pula kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras basmati import dan super wangi," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Zakat Fitrah Bagi Tahun 1447H/2026M di sini hari ini.

Beliau berkata umat Islam di Johor boleh melaksanakan pembayaran zakat fitrah menerusi 1,672 amil fitrah yang bertauliah dan diberi kuasa daripada Majlis Agama Islam Negeri Jhor (MAINJ) bagi menjalankan tugas memungut.

Mohd Fared berkata pembayaran boleh dilakukan menerusi bayaran tunai atau kod respons pantas (QR), pembayaran dalam talian melalui Zakat Johor Online Payment dan aplikasi tulus menerusi laman https://www.bayarzakatjohor.com, perkhidmatan kaunter bergerak zakat MAINJ di setiap daerah serta kaunter UTC MAINJ di Kotaraya dan Pasir Gudang, di sini.

Beliau berkata umat Islam yang bermukim di Johor termasuk warga asing wajib menunaikan zakat fitrah di negeri berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata Mohd Fared berkata unjuran pungutan fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM27.32 juta dengan anggaran 2.29 juta umat Islam di Johor yang akan membayar zakat fitrah.

"Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu kini, iaitu dengan mengambil nisbah 29 peratus adalah pembayar bayar bagi RM8, 47 peratus adalah pembayar RM10 serta 25 peratus adalah pembayar bagi RM20,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan