AM

JOHOR IMPORT TAMBAHAN 1,000 EKOR LEMBU TENUSU, TINGKAT KAPASITI PENGHASILAN SUSU DI JDV

05/02/2026 04:28 PM

MERSING, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan mengimport 1,000 ekor lagi lembu tenusu A2 baka Jersey Friesian dari Victoria, Australia untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran susu tempatan bagi kilang tenusu di Lembah Tenusu Jemaluang (JDV).

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemprosesan susu akan dilakukan sepenuhnya di kilang berkenaan yang merupakan sebahagian daripada fasa kedua projek berkenaan.

"Lembu tempatan mampu menghasilkan kira-kira 12 liter susu sehari, tetapi lembu yang kita import ini boleh mengeluarkan lebih 27 hingga 30 liter susu sehari.

"Oleh itu, Johor (dijangka) menjadi pengeluar susu terbesar negara apabila (kilang itu) beroperasi sepenuhnya menjelang 2027," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Tenusu JDV di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip dan Ketua Pegawai Eksekutif JDV Sdn Bhd Qasem Alhasan.

Projek lembah tenusu itu merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan JDV Sdn Bhd yang melibatkan pelaburan kira-kira RM80 juta.

Qasem berkata JDV berupaya menampung kapasiti sehingga 4,000 ekor lembu dengan potensi peluasan berterusan hasil kerjasama strategik bersama kerajaan negeri.

Lembah tenusu itu menyasarkan pengeluaran tiga juta liter susu pada tahun pertama, ditingkatkan kepada empat hingga lima juta liter pada tahun berikutnya dan seterusnya kepada 12 juta liter setahun dalam tempoh lima tahun.

Pada November tahun lepas, Johor mengimport sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu baka yang sama dari Victoria, Australia sebagai permulaan bagi pembangunan industri tenusu berskala besar itu.

Sementara itu, Qasem berkata menjelang pertengahan 2027 lembah tenusu itu juga akan dibuka kepada pelajar sekolah bagi aktiviti berkonsepkan agro-pelancongan.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik dirancang termasuk kenderaan lasak ATV, perkhemahan dan mini zoo.

"Sementara fasa kedua pula akan dibuka kepada orang ramai yang dirancang bermula pada 2028," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga merancang mengeluarkan produk keluaran sendiri seperti susu segar, susu berperisa kurma, strawberi, coklat, diikuti yogurt dan ais krim yang akan diproses di kilang tersebut. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan