KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- AirAsia Malaysia memperkenalkan laluan baharu Kaohsiung-Osaka, sebagai sebahagian daripada perkhidmatan Kuala Lumpur-Kaohsiung, menandakan fasa pertumbuhan rangkaian syarikat penerbangan tersebut yang seterusnya di seluruh Asia Utara.
Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan hari ini, laluan tambahan Kaohsiung-Osaka akan mengukuhkan hubungan antara Taiwan dan Jepun selain memanfaatkan Kuala Lumpur sebagai hab utama dalam rangkaian syarikat penerbangan itu yang lebih luas.
“Bermula 15 Jun 2026, AirAsia akan mengendalikan penerbangan harian yang menghubungkan Kaohsiung dan Osaka sebagai tambahan kepada laluan sedia ada, Kuala Lumpur-Kaohsiung.
“Laluan penerbangan kebebasan kelima yang baharu ini memperkukuh kehadiran syarikat penerbangan di Asia Utara dan menyokong permintaan yang meningkat untuk perjalanan antara Taiwan dan Jepun selain menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan yang lancar kepada penumpang dalam pelbagai pasaran melalui rangkaian AirAsia yang kukuh,” katanya.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata permintaan yang tinggi untuk laluan kebebasan kelima pertamanya antara Taipei dan Fukuoka tahun lepas menjadi bukti kejayaan strategi ini dengan purata faktor muatan penumpang melebihi 90 peratus sejak penerbangan tersebut beroperasi.
Bagi meraikan pelancaran ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa bagi penerbangan dari Kaohsiung ke Osaka bermula daripada NT$2,690 manakala penerbangan dari Osaka ke Kaohsiung ditawarkan bermula daripada yen Jepun 11,990.
Mengikut jadual, penerbangan AirAsia AK170 berlepas dari Kuala Lumpur pada 2:55 pagi, tiba di Kaohsiung pada 7:30 pagi dan dari Kaohsiung pada 8:30 pagi ke Osaka, tiba pada 12:40 tengah hari.
Sementara itu, untuk perjalanan pulang, penerbangan AirAsia AK171 berlepas dari Osaka ke Kaohsiung pada 1:45 tengah hari dan tiba pada 4:00 petang sebelum meneruskan penerbangan dari Kaohsiung ke Kuala Lumpur pada 5:00 petang dan tiba pada 9:25 malam.
Penerbangan beroperasi setiap hari dan semua waktu adalah berdasarkan waktu tempatan.
Tempahan boleh dibuat mulai hari ini sehingga 15 Feb 2026 untuk tempoh perjalanan antara 15 Jun 2026 dan 24 Okt 2026 melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com.
-- BERNAMA
