IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah memohon pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan hulu lembangan Sungai Perak sebagai langkah mitigasi bagi memastikan kelestarian pengurusan sumber air di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata permohonan rasmi itu dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak susulan keadaan kemarau berterusan yang berpotensi menjejaskan bekalan air pengairan dan domestik.
“Pejabat INTAP (Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam) mengambil maklum serta menyokong penuh usaha permohonan JPS untuk melaksanakan OPA pada kadar segera di kawasan tadahan, khususnya di sekitar Tasik Temengor dan Empangan Bukit Merah sebagai langkah mitigasi strategik bagi meningkatkan peluang hujan, seterusnya mengelak pemberhentian bekalan air pengairan dan domestik sekiranya keadaan kemarau berterusan.
“Ia dilaksanakan secara bersepadu melibatkan agensi termasuk Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, JPS Daerah Kerian, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Pertubuhan Peladang Kawasan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Beliau berkata hasil pemantauan berterusan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap sistem empangan Sungai Perak mendapati paras air Tasik Temengor kini pada tahap rendah berikutan kadar kemasukan air semula jadi yang terhad dari kawasan tadahan, susulan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Mohammad Nizar berkata keadaan itu memberi kesan rantaian kepada empangan di hilir iaitu Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Tasik Chenderoh, yang kini berada hampir pada paras operasi minimum oleh pihak TNB.
“Dalam keadaan semasa, keupayaan pelepasan air ke hiliran dari Empangan Chenderoh adalah terhad kira-kira 100 hingga 120 meter padu sesaat bagi memastikan kestabilan paras empangan, kesinambungan aliran Sungai Perak serta mengelakkan takungan memasuki zon operasi kritikal yang boleh menjejaskan pengurusan sumber air secara keseluruhan,” katanya.
Mohammad Nizar berkata pihaknya melihat kekangan pelepasan berkenaan bukan sekadar isu operasi empangan, sebaliknya berkemungkinan berpotensi memberi implikasi yang lebih meluas kepada negeri ini antaranya tekanan terhadap keperluan air bagi sektor pertanian dan pengairan di kawasan hilir, khususnya di daerah Perak Tengah.
Beliau berkata selain itu, ia memberi kesan langsung kepada sosioekonomi komuniti setempat yang bergantung kepada sumber air Sungai Perak dan kemerosotan aktiviti ekopelancongan di kawasan Tasik Temengor serta Tasik Raban susulan paras air yang rendah.
“Kesan lain ialah risiko jangka sederhana terhadap jaminan bekalan air dan tenaga, termasuk sokongan operasi penjanaan Stesen Janakuasa Janamanjung yang menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan tenaga Semenanjung Malaysia, serta berkait rapat dengan kestabilan bekalan air negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata status semasa paras air Tasik Bukit Merah adalah 21.05 kaki (6.416 meter) dengan baki simpanan air sekitar 10.837 juta meter padu, bersamaan 19.89 peratus iaitu pada aras kritikal pengairan tahap 2.
“Susulan itu, operasi bekalan air bagi tujuan pengairan sawah di Rancangan Pengairan Kerian telah dilaksanakan secara catuan, manakala bekalan air domestik kepada pengguna awam kekal seperti permintaan sedia ada.
“Rekod pemantauan menunjukkan paras air Empangan Bukit Merah mula merosot sejak 25 Dis 2025, iaitu pada aras berjaga-jaga pengairan (7.62 meter) dan seterusnya mencecah paras kritikal 7.01 meter pada 12 Jan 2026,” katanya.
Mohammad Nizar berkata berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengaktifan bencana kemarau dan musim kering Perak, pengaktifan operasi adalah dipertimbangkan apabila storan empangan dan kadar alir sungai melepasi aras waspada selama tiga minggu berturut-turut.
“Bagi mengurangkan kesan kemarau, langkah kawalan dalaman telah dan sedang dilaksanakan, termasuk catuan bekalan pengairan mengikut kompatmen serta penggunaan pam bergerak di beberapa lokasi terjejas dengan kerjasama JPS dan IADA Kerian.
“Langkah ini bertujuan membantu komuniti petani dan mengurangkan impak cuaca panas serta kering yang sedang melanda,” katanya.
-- BERNAMA
