KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik menanti pengunjung sempena sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang akan berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini esok.
Sambutan anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.
Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, acara itu akan dimulakan dengan ExploRace Hari Keselamatan Internet seawal 7.30 pagi.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi perkongsian daripada Meta yang akan mengulas mengenai Meta Teen Account, alat kawalan ibu bapa serta ciri keselamatan terkini.
Selain itu, TikTok dan Google juga dijadualkan berkongsi input mengenai ciri keselamatan dalam talian serta langkah pengaktifan kawalan ibu bapa bagi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan remaja.
Sambutan HKI 2026 akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang seterusnya melancarkan Kempen Internet Selamat 2026 kira-kira 10.30 pagi.
Pengisian menarik yang disediakan kepada pengunjung termasuk persembahan pemuzik jalanan, sesi Bicara Santai, aktiviti e-sukan, pameran teknologi serta reruai oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan sesi interaktif khas mengenai cara melindungi diri daripada ancaman phishing (pancingan data) dan penipuan dalam talian.
Selain majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video HKI 2026, sambutan esok turut dimeriahkan dengan konsert mini yang menampilkan artis popular seperti Kaka Azraff, Insomniacks, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ismail Izzani dan Leaism.
MCMC juga akan membawa pasukan teknikal dan pakar bagi membantu pengunjung secara langsung menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing termasuk penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa.
Orang ramai juga berpeluang menyertai Forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua yang bermula pada 2 petang dikendalikan oleh Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.
Forum itu menampilkan barisan panelis termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM SAC Siti Kamsiah Hassan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Prof Madya Dr Mohd Al Adib serta Pengasas MN Amplified Marketing Muhammad Noor atau Madnor.
HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa, yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara bagi mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.
-- BERNAMA
