DUNIA

RINGGIT DIUNJUR DINIAGAKAN DALAM JAJARAN KECIL ANTARA RM3.95 DAN RM3.96 MINGGU DEPAN

07/02/2026 10:50 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil sekitar RM3.95 hingga RM3.96 minggu depan berikutan pasaran menunggu lebih banyak pemangkin termasuk data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran adalah kepada data pekerjaan bukan perladangan (NFP) AS pada Januari, dengan anggaran konsensus sebanyak 68,000 pekerjaan dan kadar pengangguran dijangka kekal pada 4.4 peratus.

“Selain itu, beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) dijangka berkongsi pandangan mereka pada minggu hadapan.

“Mereka dijangka mengekalkan pendirian berwaspada mengenai inflasi, yang menunjukkan dasar monetari yang terhad akan diteruskan buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), data pekerjaan AS yang tidak menunjukkan kemerosotan ketara menyebabkan tiada keperluan mendesak untuk Fed melonggarkan dasar monetari dalam tempoh terdekat, sekali gus menjangka Indeks Dolar AS (DXY) kekal menerima sokongan dalam masa terdekat.

Menurut bank pelaburan itu, tumpuan pada minggu hadapan akan terarah kepada data pasaran buruh AS yang tertangguh serta data pekerjaan sektor swasta yang lemah, yang dijangka selari dengan anggaran pasaran dan tidak menyebabkan kejutan kepada dolar AS.

“Bagaimanapun, kami menjangka pengumuman data rasmi adalah sejajar dengan anggaran dan tidak akan memberi kejutan negatif kepada dolar AS,” menurut Kenanga IB menerusi nota penyelidikan.

Di dalam negara, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia dan laporan akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 akan diumumkan, yang dijangka mengukuhkan naratif pertumbuhan, menyokong aktiviti perniagaan dan memberikan keyakinan kepada ringgit walaupun terdapat cabaran luaran yang berterusan dalam pasaran pertukaran asing.

Pada minggu ini, ringgit diniagakan antara RM3.9295 dan RM3.9440.

Bagi asas mingguan, ringgit mengakhiri minggu ini tidak berubah berbanding dolar AS apabila ditutup kepada 3.9440/9525 daripada 3.9440/9500 Jumaat lepas.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5111/5167 daripada 2.5562/5603, menokok berbanding pound Britain kepada 5.3548/3663 daripada 5.4163/4245 dan naik berbanding euro kepada 4.6508/6608 daripada 4.6957/7029 pada minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0965/1034 daripada 3.1077/1127, menokok berbanding baht Thai kepada 12.4609/4933 daripada 12.5250/5544, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.6/234.3 daripada 234.9/235.4 namun susut berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.75 daripada 6.69/6.71 sebelumnya

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan