ALOR GAJAH, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM168.8 juta kepada lebih 34,000 penerima tahun ini bagi memperkukuh kebajikan rakyat di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding RM164 juta yang disalurkan kepada lebih 30,000 penerima tahun lalu, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat selaras dengan slogan ‘Melaka Sayang Rakyat’.
Beliau berkata kebajikan rakyat bukan sekadar slogan, sebaliknya amanah yang perlu benar-benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.
“Bagi saya, kebajikan rakyat bukanlah slogan di atas kain rentang, tetapi amanah yang perlu sampai ke pintu rumah dan dirasai di meja makan setiap keluarga.
“Sebab itulah, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada warga emas, keluarga B40, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan kerana kita tidak mahu ada rakyat Melaka yang berasa terpinggir atau tertinggal selaras dengan usaha membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Masjid Tanah yang melibatkan 175 penerima.
Sementara itu, Ab Rauf berkata sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 untuk disalurkan kepada 1,000 penerima dalam kalangan masyarakat Tionghua di seluruh Melaka.
Beliau berkata sumbangan itu akan diagihkan secara berperingkat mengikut kawasan Parlimen, iaitu Masjid Tanah dan Alor Gajah pada hari ini, diikuti Tangga Batu (10 Feb), Hang Tuah Jaya (11 Feb), Kota Melaka (12 Feb) dan Jasin (15 Feb).
"Pada majlis ini, kita menyampaikan sumbangan kepada 175 penerima di Parlimen Masjid Tanah dan selain itu, melalui peruntukan Pejabat Ketua Menteri Melaka, saya turut memperuntukan sebanyak RM10,000 kepada 100 orang penerima.
"Sumbangan ini melambangkan kehadiran kerajaan negeri di sisi rakyat meraikan perayaan bersama tanpa mengira kaum dan latar belakang, di samping mengeratkan silaturrahim serta memperkukuh perpaduan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
-- BERNAMA
