MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Lapan pelajar sebuah kolej vokasional (KV) di Melaka digantung sekolah hingga maksimum dua minggu kerana disyaki memukul seorang pelajar dalam kejadian di institusi itu minggu lepas.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata tindakan lanjut juga akan dijalankan oleh Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata kesemua pelajar berkenaan direman pihak polis susulan laporan dibuat bapa mangsa.
"Siasatan awal mendapati punca lapan pelajar berkenaan memukul mangsa adalah disebabkan rasa tidak puas hati berkaitan memotong barisan ketika waktu makan.
"Kes akan dikendalikan BPLTV KPM manakala Jabatan Pendidikan negeri hanya membimbing dari segi prosedur tindakan. Tiada dalam kalangan pelajar terbabit dibuang sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahmad berkata ada dalam kalangan pelajar itu memohon untuk bertukar sekolah, namun kelulusan bergantung pada BPLTV KPM.
-- BERNAMA
