KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sebanyak 8,000 murid daripada keluarga B40 di 200 sekolah seluruh negara bakal menerima set sarapan berkhasiat menerusi inisiatif Projek Sarapan untuk Murid Sekolah.
Menerusi kenyataan hari ini, MILO memaklumkan inisiatif dilancarkan pada 2021 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan membantu murid sekolah rendah memulakan hari mereka dengan pengambilan nutrisi yang diperlukan pada waktu pagi sekali gus dapat memberi tumpuan, menimba ilmu dan membesar dengan sihat.
“Inisiatif ini akan menghidangkan sebanyak 40,000 set sarapan seimbang yang dipilih daripada menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM dengan MILO, bagi menyokong pembelajaran dan penglibatan aktif murid-murid di dalam kelas.
“Program ini turut merangkumi sesi MILO Senamrobik serta ceramah pendidikan pemakanan yang disampaikan oleh pakar pemakanan bertauliah dalam usaha menggabungkan aspek pemakanan, pergerakan fizikal dan pendidikan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MILO, pendekatan secara menyeluruh itu menggalakkan kanak-kanak mengamalkan gaya hidup aktif sejak usia muda, menyumbang kepada pengalaman pembelajaran positif di sekolah, meluaskan akses kepada sarapan berkhasiat untuk murid yang memerlukan dan tidak tersenarai di bawah skim RMT serta sebagai pelengkap kepada program kerajaan yang sedia ada.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu memperlihatkan komitmen KPM untuk memastikan tiada kanak-kanak memulakan hari persekolahan dalam keadaan lapar serta membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih sihat dan tertumpu khususnya bagi murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Langkah ini juga akan meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga semasa musim kembali ke sekolah selain menyokong pengusaha kantin yang memainkan peranan penting dalam penyediaan hidangan berkhasiat. Kami amat menghargai kerjasama dengan MILO dalam memperkukuh tanggungjawab bersama demi kesejahteraan murid-murid,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Nestle (Malaysia) Berhad Ng Su Yen berkata sarapan berkhasiat merupakan asas yang mendorong tumbesaran, pembelajaran dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.
“Seiring dengan permulaan tahun persekolahan baharu, kami berharap inisiatif ini akan membantu ribuan murid daripada keluarga yang berdepan cabaran dalam memenuhi keperluan nutrisi, agar membolehkan mereka memulakan hari persekolahan dengan penuh bertenaga.
“Program ini menegaskan komitmen berterusan MILO untuk memupuk tabiat sihat yang berkekalan sepanjang hayat dalam kalangan komuniti,” katanya.
-- BERNAMA
