Oleh R. Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Peluasan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada makanan sejuk beku akan dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup seterusnya meningkatkan kesejahteraan isi rumah, kata pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Pensyarah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu berkata langkah strategik tersebut bukan sahaja menjamin akses kepada sumber protein pada harga lebih stabil dan berpatutan, malah berpotensi menjadi instrumen perlindungan sosial yang memberi impak besar kepada rakyat.
Beliau berkata produk sejuk beku mempunyai jangka hayat panjang dan harga yang lebih konsisten, sekali gus mengurangkan perbelanjaan berulang, meminimumkan pembaziran dan menawarkan alternatif yang lebih efisien berbanding barangan segar bermusim.
"Makanan sejuk beku seperti sayur campur beku dan ayam perap beku amat membantu isi rumah bekerja, ibu tunggal dan warga emas untuk menjimatkan masa dengan memudahkan penyediaan makanan, kemudahan mobiliti serta pengurusan stok isi rumah yang lebih baik.
"Produk sejuk beku seperti ayam, ikan dan protein berasaskan tumbuhan lazimnya mempunyai jangka hayat lebih panjang, ini mengurangkan kekerapan ke kedai dan kos pengangkutan. Peluasan kepada 15 kategori dan sekitar 140,000 produk membolehkan isi rumah memadankan bajet dengan jenama dan saiz pek yang sesuai," katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perpaduan Negara pagi tadi berkata kerajaan bersetuju memperluas kategori barangan SARA Untuk Semua merangkumi makanan sejuk beku selain barangan asas berikutan permintaan orang ramai.
Selain itu, Anwar berkata penglibatan kedai runcit kecil yang menyertai program SARA turut ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini dengan jarak capaian kedai dikurangkan dalam lingkungan tujuh kilometer (km) berbanding 10 km pada masa ini.
Barjoyai berkata dengan pilihan menu lebih fleksibel, isi rumah boleh mengekalkan pemakanan berprotein secara konsisten pada bajet terhad, di samping mengurangkan tekanan kognitif ketika berbelanja, dua faktor yang nyata mempengaruhi kesejahteraan harian.
Katanya penambahan rangkaian rakan niaga kepada 10,000 kedai runcit serta pengurangan jarak capaian daripada 10 km kepada tujuh km turut menjadikan pelaksanaan SARA lebih inklusif terutamanya bagi penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman.
Barjoyai berkata beliau turut menyokong pendekatan mengutamakan produk tempatan yang mampu merangsang permintaan terhadap industri kecil dan sederhana dalam industri makanan sejuk beku, pertanian dan perikanan.
“Namun, keutamaan ini perlu dilaksanakan melalui insentif pasaran dan bukannya sekatan import terselindung yang boleh mengehadkan pilihan atau menaikkan harga,” katanya.
Barjoyai berkata beberapa penambahbaikan dicadangkan bagi memastikan keberkesanan SARA termasuk mekanisme harga panduan SARA, pengukuhan rantaian sejuk beku di desa melalui geran padanan mikro untuk peralatan penyejukan seperti peti sejuk dan elektrik cekap tenaga serta penggunaan data transaksi bagi pemantauan mikrogeografi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EB Chris Ooi berkata peluasan makanan sejuk beku di bawah inisiatif SARA disifatkan sebagai langkah tepat yang bakal memberi rangsangan besar kepada industri pembuatan dan pemprosesan makanan tempatan.
Beliau berkata langkah itu mengiktiraf makanan sejuk beku sebagai pilihan makanan praktikal dan penting yang bukan sekadar satu bentuk kemudahan, di samping meluaskan akses pasaran kepada pengeluar tempatan apabila lebih banyak isi rumah kini dapat membeli barangan sejuk beku melalui bantuan kerajaan.
“Banyak pengeluar makanan sejuk beku mempunyai kemudahan pengeluaran dalam negara, justeru peluasan ini dijangka menggalakkan permintaan yang lebih kukuh terhadap produk keluaran tempatan sekali gus membantu menstabilkan dan mengembangkan asas industri pembuatan makanan domestik,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Ooi berkata inisiatif itu berpotensi meningkatkan jualan secara berperingkat kerana makanan sejuk beku menawarkan nilai yang baik, jangka hayat yang lebih panjang serta mudah disediakan, menjadikannya sesuai untuk keluarga yang perlu menguruskan masa dan bajet.
Berhubung potensi peningkatan permintaan, beliau berkata EB Group yang beribu pejabat di Kulim, Kedah akan terus mengoptimumkan perancangan pengeluaran serta mempertimbangkan peningkatan kapasiti secara berperingkat, disokong oleh automasi, penambahbaikan proses dan pelaburan berterusan dalam sistem keselamatan dan kualiti makanan.
-- BERNAMA
