KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan aktiviti penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa permit sah membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM5.25 juta hasil serbuan ke atas sebuah premis di sini semalam.
Komander Briged Sarawak PGA SAC Lim Bak Phai berkata seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan dalam serbuan Ops Taring Chiller itu yang dilakukan oleh Cawangan Risik PGA Sarawak bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 15,756 kilogram produk daging babi sejuk beku, selain pelbagai peralatan pemprosesan daging serta kemudahan stor sejuk beku.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan bagi operasi ini berjumlah RM5.25 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tangkapan dan rampasan daripada operasi ini diserahkan kepada DVS negeri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 9(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
-- BERNAMA
