AM

KEBUN DICEROBOH GAJAH, ORANG ASLI POS PASIK RISAU BEKALAN MAKANAN TERHAD

10/02/2026 05:58 PM

GUA MUSANG, 10 Feb (Bernama) -- Hampir 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik di sini terpaksa mengikat perut akibat tanaman yang diusahakan mereka kerap dimusnahkan gajah liar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik Jimi Arifin berkata haiwan berkenaan telah merosakkan kebun pisang, ubi kayu, keledek serta padi bukit di Kampung Simpang, Kampung Sugi, Kampung Pasik dan Kampung Ayong.

"Gangguan gajah liar sudah berlarutan di pos kami, malah ia menjadi semakin serius. Sumber pendapatan dan makanan kami terjejas sehingga terpaksa mencatu makanan supaya semua orang dapat makan walaupun sedikit.

"Beberapa penduduk juga sering terserempak dengan tiga ekor gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung. Kami telah membuat laporan polis pada minggu lepas kerana berasa terancam dengan kehadiran haiwan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Simpang, Benarih Atom, 40, berkata dia berputih mata selepas kebun yang menjadi sumber rezekinya musnah dengan hanya sebahagian kecil hasil padi bukitnya dapat diselamatkan daripada dimusnahkan haiwan itu.

"Hasil ubi kayu tidak lagi dapat dituai dan kami hanya makan dua kali sehari, malah pendapatan juga terkesan kerana hasil hutan dan pisang tidak dapat dijual, jadi kami perlu berjimat membeli barangan dapur," katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pihaknya telah menerima aduan tentang rumah buluh penduduk yang turut rosak akibat haiwan terbabit.

"Saya merayu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya ada tindakan segera bagi menangani masalah gangguan gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk. 

"Difahamkan tiga ekor gajah liar ini bergerak secara berkumpulan dan penduduk mendakwa terdapat anak gajah dalam kawanan tersebut. Saya bimbang sekiranya gajah liar ini bertindak agresif menyerang penduduk jika berasa terancam," katanya.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan