AM

PEMBANGUNAN KRC MAMPU BAWA MANFAAT MENYELURUH KEPADA PENDUDUK SETEMPAT

10/02/2026 10:56 PM

KUALA NERANG, 10 Feb (Bernama) — Pembangunan kawasan perindustrian Kedah Rubber City (KRC) mampu membawa manfaat menyeluruh kepada penduduk setempat terutama limpahan ekonomi di sekitar daerah Padang Terap.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata selain peluang pekerjaan, pembangunan KRC dijangka merangsang peningkatan kemudahan awam termasuk naik taraf jalan raya, pembinaan masjid, tandas serta aktiviti ekonomi masyarakat.  

“Sebelum ini beberapa perkara telah disuarakan oleh penduduk sekitar, terutama berkaitan peluang yang bakal ditawarkan apabila KRC beroperasi kelak, antaranya peluang pekerjaan serta peningkatan kemudahan asas seiring dengan pertumbuhan kawasan tersebut.

“Selain itu, terdapat keperluan menaik taraf jalan kepada empat lorong yang menghubungkan pekan Pokok Sena ke KRC bagi menyokong pertumbuhan industri berasaskan getah di situ,” katanya pemberita selepas menghadiri sesi taklimat mengenai perkembangan projek itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan.

Selain itu, Mahdzir berkata KEDA dan NCIA juga bersetuju untuk menubuhkan pasukan penyelaras bagi memperkukuh aspek pembangunan modal insan KRC.

Beliau berkata pembangunan KRC dijangka berkembang secara berperingkat dengan peningkatan jumlah pekerja dari semasa ke semasa.

– BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan