AM

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 12 FEB

12/02/2026 07:56 PM

KPKM SASAR KURANGKAN 30 PERATUS IMPORT JAGUNG BIJIAN MENJELANG 2030

KUALA LUMPUR -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan pengurangan kebergantungan terhadap import jagung bijian sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030 melalui perluasan kawasan tanaman secara besar-besaran.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu kini dimulakan dengan projek rintis di Perlis yang melibatkan kawasan seluas lebih 2,000 hektar, dengan 15 syarikat swasta telah menyatakan kesediaan mereka untuk terlibat.

“Kita akan membuat rundingan terus dengan agensi seperti FELDA dan FELCRA supaya dapat diperbanyakkan ladang jagung ini kerana ia merupakan komponen utama makanan binatang ternakan serta ikan,” katanya menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai penglibatan agensi seperti FELDA dan FGV Holdings (FGV) dalam pengeluaran jagung bijian negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata kerajaan turut mempertimbangkan pemberian pelbagai insentif termasuk pengurangan cukai bagi menarik lebih banyak penglibatan pemain industri memandangkan kos permulaan bagi tanaman jagung bijian adalah agak tinggi.

Selain jagung, kementerian itu juga sedang mempergiat penyelidikan formulasi makanan ternakan menggunakan sisa sawit serta sumber protein alternatif lain seperti lalat Black Soldier Fly (BSF) bagi menstabilkan kos operasi industri ternakan negara.

-- BERNAMA

 

JWP TUBUH TASK FORCE KAJI KEBOLEHLAKSANAAN PINDAAN AKTA IBU KOTA

KUALA LUMPUR -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang antara lain melibatkan cadangan lantikan Ahli Majlis sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kuasa Datuk Bandar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata ia melibatkan kumpulan penyelidik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdiri daripada pelbagai kepakaran seperti undang-undang, perancangan bandar dan sains politik.

“Kajian ini akan turut meneliti perbandingan kaedah pelantikan Datuk Bandar dan Ahli Majlis Kuala Lumpur dengan beberapa ibu negara terpilih.

“Penemuan kajian ini akan diteliti bersama pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan sebarang cadangan pindaan akta di bawah Wilayah Persekutuan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai pendirian kerajaan terhadap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik ahli Majlis sebagaimana pihak berkuasa lain di seluruh negara sebagai semak dan imbang kepada kuasa Datuk Bandar.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN RANGKA DASAR LATIHAN INDUSTRI WAJIB BERBAYAR, CADANG PINDA AKTA KERJA 1955 - ADAM ADLI

KUALA LUMPUR -- Kerajaan sedang merangka dasar latihan industri baharu termasuk cadangan meminda Akta Kerja 1955 bagi memastikan kebajikan pelajar dilindungi, selain mewajibkan pemberian elaun kepada pelatih.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 itu menggariskan pelaksanaan skim latihan industri wajib berbayar bagi menangani isu bayaran rendah serta memperkukuh kualiti latihan.

“Fokus utama kerajaan antara lainnya melaksanakan kajian dan membangunkan dasar latihan industri baharu dan mencadangkan pindaan kepada Akta Kerja 1955 untuk melibatkan pelatih industri dan melindungi kebajikan pelajar kita.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi menarik lebih ramai pemain industri menawarkan penempatan latihan. Secara keseluruhan, kita akan pantau dan tambah baik inisiatif sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Adam Adli menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai langkah kerajaan menetapkan kadar minimum elaun latihan industri merentas sektor bagi menangani beban kos sara hidup pelajar.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN TERUSKAN INISIATIF BKHT, PERUNTUK RM1.5 JUTA UNTUK 2026 - SYED IBRAHIM

KUALA LUMPUR -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta tahun ini bagi meneruskan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) akibat serangan hidupan liar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata bagi Kelantan sahaja, sebanyak 145 permohonan telah diluluskan dengan jumlah bantuan mencecah RM379,000 sebagai langkah meringankan beban penduduk yang terkesan dengan serangan haiwan perosak, khususnya kera dan monyet.

“Kerajaan sedar bahawa spesies ini mempunyai naluri kelangsungan hidup yang tinggi dan membiak dengan pantas, menjadikan konflik ini sebagai satu perjuangan yang berterusan. Namun, kementerian akan memberi perhatian serius untuk menangani isu ini dengan lebih tuntas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff bin Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai usaha kerajaan dalam menangani serangan kera dan monyet yang semakin luar kawalan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan