BUKIT MERTAJAM, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah mengambil tindakan ke atas 171 kes pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan bernilai RM 857,796.13 dalam operasi sejak awal Januari hingga semalam.
Pengarahnya S.Jegan berkata tindakan itu di ambil hasil pemeriksaan ke atas 10,555 premis di seluruh negeri dengan kompaun sebanyak RM36,500 dikeluarkan sepanjang tempoh sama.
"Berdasarkan statistik aduan yang diterima bagi tempoh sama, sebanyak 359 aduan diterima iaitu 77 berhubung harga barang, 27 bekalan barang kawalan, 86 transaksi dalam talian manakala selebihnya 169 berhubung aduan lain-lain.
"Kami meminta kerjasama orang ramai yang juga merupakan sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen KITA GEMPUR untuk memaklumkan kepada KPDN Pulau Pinang sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Skim harga tersebut yang dilaksanakan selama sembilan hari bermula dari 13 hingga 21 Feb ini melibatkan 15 barangan kawalan.
Antara barangan keperluan utama yang termasuk dalam skim itu ialah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih China, kobis bulat import, lobak merah, lobak putih, ubi kentang China, halia tua import, kepak ayam, daging dan perut babi, selain kawalan babi hidup di peringkat ladang.
Sementara itu, Jegan berkata seramai 137 anggota penguatkuasa dan 57 pegawai pemantau harga KPDN negeri telah ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
Beliau berkata pihaknya berharap agar semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan itu dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Pelaksanaan skim itu bertujuan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah serta memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi sepanjang musim perayaan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Selain itu beliau juga meminta orang ramai terutamanya pengguna untuk membuat aduan jika berlaku kenaikan harga.
Jegan berkata berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan, pihaknya mendapati bekalan barangan terutama keperluan asas mencukupi bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan juga bulan puasa pada minggu depan.
Mengulas dakwaan kekurangan bekalan udang putih di pasaran, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan perkara itu dan turut memberi amaran agar peniaga tidak menaikkan harga udang yang menjadi pilihan utama ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Udang putih termasuk dalam senarai barangan kawalan dan harga ditetapkan mengikut kategori serta saiz, jika pengguna mendapati harga yang dikenakan tidak munasabah atau melebihi harga kawalan, mereka boleh menyalurkan aduan kepada KPDN,” katanya.
Jegan berkata pihaknya turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan harga dalam radius tertentu sebelum membuat pembelian.
-- BERNAMA
